Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Mahkamah arah Ira Kazar masukkan pernyataan pembelaan

04 Jul 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Wanita yang didakwa kekasih kepada pengarah, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar diarah memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman dikemukakan Puteri Sarah Liyana dalam tempoh sebulan, mulai hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad, di sini hari ini.

"Mahkamah mengarahkan pihak defendan (Ira) masukkan penyataan pembelaan dalam tuntutan saman dalam tempoh sebulan.

"Jika perlu, plaintif akan menjawabnya. Jika tidak, mahkamah akan menetapkan tarikh bicara," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Akberdin berkata, mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Dalam pada itu, Akberdin memberitahu, mahkamah turut mengekalkan perintah interim injuksi. Ia termasuklah defendan diperintah berhenti mengeluar, menyebar dan menghantar kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial sehingga kes perbicaraan penuh.

"Pihak defendan tidak membantah dan perintah interim injuksi dikekalkan mahkamah," kata Akberdin.

Sebelum ini, plaintif mendapatkan perintah interim injuksi berkenaan. Permohonan dihantar kepada defendan pada 28 Jun lalu dan diterimanya.

Peguam mewakili Puteri Sarah, Akberdin bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Peguam mewakili Puteri Sarah, Akberdin bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah

Sementara itu, mengulas sama ada kes saman berkemungkinan diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak, Akberdin berkata, setakat ini belum ke arah itu lagi.

"Sekiranya ada inisiatif untuk selesaikan dengan cara baik, kita tengok dahulu. Bukan meninggi diri, asalkan tawaran logik, kita mungkin mempertimbangkan selepas mendapat arahan anak guam (Puteri Sarah)," kata Akberdin.

Selain Akberdin, turut hadir, peguam, Siti Natasha Basheer Hassan dan Ummi Kartini Abd Latiff.

Namun, Puteri Sarah dan Ira tidak hadir dan diwakili peguam masing-masing.

Sementara itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya perlu memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan, sebelum atau pada 4 Ogos depan.

"Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif.

"Hari ini, mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu," kata Ammar.

Terdahulu, Puteri Sarah, 37, memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira yang didakwa kekasih suaminya, Syamsul pada 30 Jun lalu.