Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

MAFE mohon kaji duti hiburan ikut peredaran zaman

01 Nov 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) berterima kasih kepada kerajaan apabila mengumumkan pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan pawagam di semua Wilayah Persekutuan sehingga 31 Disember 2022.

Ahli MAFE, Dr Sai Suthan Krishnan berkata, tindakan itu bermanfaat kepada industri pawagam bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 terhadap sektor itu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan memberikan pengecualian duit hiburan sehingga 31 Disember 2022. Tidak hanya Wilayah Persekutuan, malah setiap negeri turut disarankan berbuat demikian.

"Sebelum ini, kami pernah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan. Kami mohon tiga perkara, iaitu pengecualian duti hiburan sehingga 31 Disember 2022 untuk Wilayah Persekutuan dan memberikan pengecualian yang sama bagi negeri lain di Malaysia.

"Kedua, pengurangan kadar duit hiburan kepada lima peratus bagi tempoh lima tahun, antara Januari 2023 hingga 31 Disember 2027 dan ketiga, duti hiburan dimansuhkan daripada 1 Januari 2028.

"Kami bersyukur, satu daripada tiga permintaan mendapat pertimbangan kerajaan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, kerajaan bercadang melanjutkan beberapa galakan cukai termasuk pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan sehingga tahun taksiran 2025.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat berkata, ia termasuklah pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, pengecualian cukai pelancongan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022. Seluruh negeri turut disaran memberi pengecualian duti hiburan bagi menyokong pemulihan sektor ini.

Krishnan lega pengecualian duti hiburan bermanfaat kepada industri pawagam bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 terhadap sektor berkenaan.
Krishnan lega pengecualian duti hiburan bermanfaat kepada industri pawagam bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 terhadap sektor berkenaan.

Bagaimanapun, Krishnan yang juga Pengurus Besar Lotus Fivestar Cinemas berkata, pengusaha pawagam tidak akan menurunkan harga tiket, sebaliknya menggunakan wang itu bagi proses pemulihan selepas pandemik COVID-19.

"Kami tidak akan menurunkan harga tiket, sebaliknya menggunakan duit bagi tujuan pemulihan operasi. Namun, sekiranya seluruh negeri memutuskan mengadakan pengecualian, kami akan cuba menurunkan harga tiket.

"Dalam tempoh dua tahun ini, pengusaha pawagam mengalami kerugian besar. Hampir 337 hari pawagam tidak beroperasi, sejak 18 Mac, tahun lalu sehingga sekarang.

"Jadi, impak sangat teruk sehingga memberi kesan sebanyak 90 peratus terhadap perniagaan. Pendapatan kasar berkurangan dari RM1.08 bilion pada 2019 kepada RM123.95 juta pada 2020.

"Disebabkan itu, kami perlu mengambil masa satu hingga dua tahun untuk memulihkan sektor ini," katanya.

Bagi pertunjukan panggung wayang, duti yang dikenakan adalah sebanyak 25 peratus.

Sementara itu, Krishnan memohon kerajaan mengkaji semula duti hiburan mengikut peredaran zaman.

"Lebih membimbangkan apabila naskhah yang akan keluar di pawagam juga ditayangkan pada hari yang sama di platform Over The Top (OTT) atau penstriman. Bagaimanapun, platform berkenaan tidak pula dikenakan duti hiburan.

"Layanan tidak sama rata ini membimbangkan kami, kerana ia tidak baik untuk perkembangan industri pawagam dalam jangka masa yang panjang.

"Disebabkan itu, taman tema turut mengemukakan cadangan agar duti hiburan dikaji semula mengikut peredaran teknologi dan sebagainya," katanya.