Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Lima tahun bercinta, tak rancang kahwin?

26 Sep 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Kini, pelakon kecil molek, Eyka Farhana tidak lagi berahsia bahawa pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid adalah kekasihnya.

Diam tak diam, Eyka dan Akhyar sudah hampir lima tahun menjalinkan hubungan cinta dalam senyap.

Namun, buat masa ini, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Juvana itu belum mempunyai perancangan membawa hubungan ke fasa seterusnya.

Pemilik nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 28, itu mendedahkan, dia dan Akhyar tidak pernah membincangkan soal perkahwinan kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya.

Menceburi dunia lakonan pada usia 15 tahun, Eyka berkata, banyak lagi impian yang belum tercapai, jadi tidak mahu terburu-buru. Impinya, mahu menggapai cita-cita terlebih dahulu sebelum status bertukar.

Bagaimanapun, katanya, andai takdir menentukan jodohnya sudah tiba, siapa dirinya mahu menolak kehendak takdir, walaupun cuba mengelak.

Eyka berkata, andai bergelar isteri tentunya perlu memperlahankan rentak bagi memberikan tumpuan kepada suami dan anak yang bakal dilahirkan.

"Benar, Akhyar Rashid adalah teman istimewa saya. Kami berkawan macam biasa dan buat masa ini, tak pernah membincangkan soal membawa hubungan ini ke fasa perkahwinan.

"Mungkin belum tiba masanya. Lagipun banyak lagi yang ingin saya dan Akhyar Rashid capai dalam hidup.

"Jujurnya, saya sendiri kurang selesa apabila sering dikaitkan dengan Akhyar kerana sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan kami.

"Namun, apa yang boleh saya katakan, kami masih berkawan, mengenali hati budi dan sentiasa menyokong kerjaya satu sama lain. Hubungan kami juga baik-baik sahaja," katanya kepada BH Online ketika ditemui selepas majlis doa selamat dan sidang media filem Anak Perjanjian Syaitan 2.

Eyka kurang selesa bersikap terlalu terbuka berbicara soal hubungan cinta dengan Akhyar. - Foto IG Eyka Farhana
Eyka kurang selesa bersikap terlalu terbuka berbicara soal hubungan cinta dengan Akhyar. - Foto IG Eyka Farhana

Dilihat semakin terbuka mendedahkan hubungan dengan bintang sukan kelahiran Jitra, Kedah itu apabila dilihat berkongsi video 'trend' langgar bahu yang menjadi ikutan ramai dalam TikTok, baru-baru ini.

Eyka mengakui, dia hanya menunjukkan apa yang ingin ditunjukkan sahaja.

Tiada niat menyorokkan hubungan istimewa, Eyka berkata, dia kurang selesa terlalu bersikap terbuka kerana salah satunya tidak mahu menjadi mangsa kecaman.

"Memang ramai bertanya kenapa saya mahu menyorokkan hubungan kami. Tetapi, bila saya bersikap sedikit terbuka, ada pula kecam dan mengata.

"Jadi, saya memilih tidak terlalu tunjukkan kemesraan dalam media sosial. Lagipun, saya mahu gunakan platform ini untuk mempromosikan kerja, bukan soal peribadi,

"Cuma sesekali saya kongsi gambar peribadi. Itupun bergantung kepada keadaan dan 'mood', tetapi masih dengan prinsip tak semua perkara saya kongsi," katanya.

Baru sahaja selesai penggambaran filem Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Eya berkata, dia teruja kerana ia naskhah seram pertama lakonannya.

Katanya, mulanya ragu-ragu terima tawaran, namun akhirnya terima kerana ingin mencabar diri.

"Saya seorang penakut dan tak pernah berlakon filem seram. Walaupun takut, tetapi saya fikir bila lagi nak cabar diri.

"Seminggu pertama memang saya takut. Selesai penggambaran sebelum sampai rumah, saya akan singgah mana-mana kerana saya ada adik yang masih kecil.

"Saya bertanya kepada Ahmad Idham, adakah ada ustaz di lokasi penggambaran. Jika ada barulah sedia berlakon.

"Namun, lama kelamaan rasa takut berjaya diatasi. Tambahan nasihat Ahmad Idham dan kru, perasaan takut bertukar tenang. Apa yang penting, kena jaga mulut dan perangai," katanya.