Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Kru, pelakon mesti jujur - PVTM

28 Oct 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Pekerja belakang tabir dan pelakon perlu jujur dan tidak melakukan perbuatan menyeleweng seperti memalsukan sijil vaksinasi COVID-19 bagi mengelak masalah kepada syarikat produksi.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata rata-rata syarikat produksi tidak meragui sijil vaksinasi yang diberi kru dan artis sebagai memenuhi syarat mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) Khas daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Hakikatnya, kes penipuan sijil vaksinasi adalah di luar bidang kuasa syarikat produksi. Kita tidak sampai kepada tahap menyiasat sijil yang dikongsi pekerja sama ada asli atau sebaliknya.

"Sebagai penerbit, tanggungjawab kami adalah menyerahkan dokumen diperlukan FINAS. Apabila semua keperluan mencukupi, barulah FINAS luluskan SPP.

"Apabila kru dan pelakon menyerahkan sijil vaksinasi mereka, kami tidak ragu. Kami sebaliknya percaya mereka sudah lengkap vaksin.

"Jadi, perkara ini adalah di luar bidang kuasa kami jika mereka serahkan sijil palsu," katanya kepada BH Online.

Bagi memenuhi syarat ditetapkan, kru dan pelakon dikehendaki melakukan 'tangkap layar' atau 'screen shot' sijil vaksinasi COVID-19 yang tertera dalam aplikasi MySejahtera masing-masing untuk diserahkan kepada syarikat produksi.

Dipercayai, kumpulan yang tidak memiliki sijil vaksinasi atau golongan yang menolak vaksin COVID-19 memanipulasi keadaan dengan mengemukakan dokumen palsu atau direka sendiri melalui pelbagai helah.

Golongan ini menyedari syarikat produksi tidak mempunyai kepakaran mengesan dokumen palsu dan berani melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.

Jurey berpendapat, tidak adil meletakkan kesalahan kepada syarikat produksi jika ada sijil vaksinasi palsu dikepilkan dalam permohonan SPP. - Foto IG Jurey Latiff Rosli
Jurey berpendapat, tidak adil meletakkan kesalahan kepada syarikat produksi jika ada sijil vaksinasi palsu dikepilkan dalam permohonan SPP. - Foto IG Jurey Latiff Rosli

Jurey berkata, tidak adil meletakkan kesalahan kepada syarikat produksi jika ada sijil vaksinasi palsu dikepilkan dalam permohonan SPP.

"Sebaliknya, individu yang melakukan kesalahan itu perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka," katanya.

Jurey berkata, kebanyakan syarikat penerbitan dalam dilema dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kepada sektor kreatif.

Namun, disebabkan penerbit terikat dengan komitmen dengan stesen televisyen (TV), syarikat produksi perlu menyiapkan kerja bagi mengelak saman.

"Syarikat produksi dalam dilema kerana kami perlu menyiapkan kerja tertangguh dan projek baharu. Kalau boleh kami tidak mahu FINAS ambil tindakan kerana boleh mengganggu proses kerja kami.

"Jika hendak siasat, sepatutnya dibuat sebelum SPP diluluskan. Jika pegawai FINAS datang ketika penggambaran, ia akan menyukarkan syarikat produksi dan jadual penggambaran terganggu.

"Jika 'shooting' ditangguhkan, ini akan menyusahkan syarikat produksi," katanya.

Sehubungan itu, Jurey merayu warga seni agar jujur dan bertanggungjawab kerana tidak mahu berlakunya penularan COVID-19 di set penggambaran.

"Jika terjadi, perkara itu akan menambah beban kepada produksi. Kita perlu tangguhkan penggambaran dan menanggung kos kuarantin kru dan pelakon terbabit.

"Ini akan merugikan syarikat produksi," katanya.