Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Sukar buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sebarang ulasan terhadap filem Anwar: The Untold Story iaitu naskhah memaparkan ranjau perjalanannya dalam arena politik kerana banyak episod tragis yang ingin dilupakan.
Ini termasuk terdapat beberapa babak dalam filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd itu mengimbas semula memori pahit, selain berasakan ia benar-benar melukakan hati isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak.
Malah, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu menjelaskan, kebanyakan alur cerita yang dilakonkan semula dan dipaparkan untuk tontonan umum bukanlah rekaan semata-mata.
"Saya sukar mahu mengulas sebenarnya kerana ada episod yang saya mahu melupakannya. Ia sangat menyakitkan dan menyedihkan apabila beban ditanggung oleh isteri, anak-anak dan rakan-rakan.
"Banyak penceritaan dalam filem ini adalah betul dan bukanlah rekaan. Kebanyakan dialognya juga betul, walaupun tidak 100 peratus dalam ingatan saya. Akan tetapi, isu yang dibangkitkan juga benar," katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan, beliau menjadikan pesanan Wan Azizah yang sentiasa mengingatkannya untuk tidak memperlihatkan kesedihan kepada rakyat sebagai penguat semangat ketika ditahan dalam lokap.
Anwar berkata, pesanan dititipkan oleh isteri sememangnya dipegang sehingga kini dan disebabkan itu, hanya sekali mengalirkan air mata ketika berada dalam lokap.
"Sepanjang hidup menderita di penjara, hanya sekali saya menangis iaitu ketika ibu saya meninggal dunia disebabkan tidak boleh kawal. Selain itu, hanya senyum dalam tangisan.
"Saya manusia biasa, jadi memang ada rasa tersentuh dan sedih. Tetapi, pesanan Wan Azizah seperti yang dipaparkan dalam filem ini 'jangan pamerkan kesedihan kepada rakyat' dan itu kata-kata yang saya pegang," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, naskhah itu seharusnya disebar meluas untuk tontonan umum.
Apatah lagi, katanya, ia memaparkan perjuangannya membendung gejala rasuah dalam negara ketika mula menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan antara 1991 sehingga dipecat pada 1998.
"Ini adalah cerita yang sepatutnya diceritakan kepada umum. Perjuangan menentang korupsi (seperti dipaparkan dalam filem) berterusan dan sekarang, saya sudah menjadi Perdana Menteri.
"Saya mahu selamatkan negara dengan menentang korupsi sekeras-kerasnya," katanya.
Mengulas corak lakonan tunjang utama filem iaitu Farid Kamil yang menggalas wataknya, Anwar berkata, aktor berusia 42 tahun ini berjaya memberikan impak positif kepada penonton.
"Sukar sebenarnya untuk saya menilai, tetapi dari segi, penampilan dan gayanya, Farid cuba sedaya-upaya untuk kelihatan mirip seperti saya walaupun dia lebih kacak.
"Lakonannya sangat baik, walaupun dalam keadaan sukar, Farid berjaya membawa peranannya," katanya.
Sementara itu, Anwar memuji keseluruhan jalan cerita filem Anwar: The Untold Story, selain mengakui konteks diketengahkan adalah betul, namun sukar sekiranya pihak produksi mahu merumuskan keseluruhan kisah yang berlaku ketika fasa itu.
"Saya menonton filem ini buat kali pertama, tetapi selebihnya saya serahkan hak filem kepada penerbit. Filem ini bebas, kreatif dan jalan cerita juga menerusi temu bual bersama orang ramai.
"Sinematografi filem ini juga sangat baik. Peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih sudah tentu tidak mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman produksi," katanya.
Anwar menjelaskan, beliau bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada penerbit dan pengarah untuk menggarap jalan cerita untuk menjadi lebih menarik.
"Ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti harus ada. Kita berikan ruang agak bebas terhadap filem.
"Saya percaya dalam pembikinan hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan.
"Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya tersentuh," katanya.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim; penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam; penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ramai lagi.
Filem edaran DMY Creation itu turut menyaksikan Siti menyanyikan lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu, ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.
Selain Farid, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Anwar: The Untold Story digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan antara 1991 sehingga dipecat pada 1998.
Menjalani penggambaran di Malaysia dan Indonesia, naskhah menelan belanja RM10 juta akan mula akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 18 Mei ini.