BERITA ABPBH

Kisah curang punca kes 'penyondol'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kali terakhir wajahnya menghiasi layar perak adalah ketika membintangi filem Dendam Pontianak, empat tahun lalu.

Sama juga dengan televisyen (TV) di mana drama Hero Seorang Cinderella menjadi buah tangan terakhirnya untuk peminat.

Selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata, perhatian aktres, Nur Fazura dilihat lebih tertumpu kepada dunia perniagaan.

Disebabkan itu, ramai yang menyangka Fazura atau nama penuh, Nur Fazura Sharifuddin, 40, sudah meletakkan noktah terhadap kerjaya dalam bidang seni.

Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan itu kepada empunya diri, Fazura menyangkal dakwaan itu sambil menyatakan bidang lakonan yang diceburi sejak dua dekad lalu, masih lagi menjadi kecintaannya.

Cuma, kata Fazura, sering ditawarkan watak stereotaip serta jalan cerita yang tidak membina minda menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran.

"Bukanlah hendak riak tetapi banyaklah tawaran terpaksa saya tolak. Ketika mula-mula dapat tawaran, saya sangat teruja.

"Tetapi apabila baca skrip, balik-balik cerita yang sama diberi. Kisah perempuan bertudung yang ada konflik dengan wanita lain serta kisah dua wanita berebut seorang lelaki.

"Apabila drama kita terlalu kerap menghasilkan karya berasaskan kecurangan, itu yang berlaku masalah 'penyondol' (pengacau rumah tangga orang).

"Sejujurnya, saya sangat kecewa. Disebabkan itu, saya sudah lama tidak berlakon," katanya kepada BH Online.

Fazura dan suaminya, Fattah Amin pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Fazura 2023 di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Fazura dan suaminya, Fattah Amin pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Fazura 2023 di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Enggan melihat situasi itu berterusan, pemenang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 ini menyarankan syarikat produksi agar lebih kreatif dalam berkarya.

"Saya harap pihak produksi berani keluar dari zon selesa untuk menghasilkan cerita yang lain agar dapat mendidik dan mengembangkan minda penonton," katanya ditemui pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Fazura 2023 di ibu negara, baru-baru ini.

Pada majlis itu, tetamu dihiburkan dengan tayangan dua filem pendek berjudul Adinda dan Kakak Kita Ke Jakarta terbitan syarikatnya, Fazura Pictures Sdn Bhd.

Dua filem pendek yang diterbitkan Fazura Pictures adalah video kempen yang dihasilkan pelakon jelita itu sempena pelancaran koleksi tudung di bawah jenama Fazura.

"Penampilan saya dalam dua filem pendek ini boleh dikatakan untuk lepas gian berlakon, selain mengubat kerinduan peminat.

"Antara sebab mengapa saya buka syarikat produksi sendiri adalah kerana mahu lebih kreatif dalam berkarya. Saya juga mahu cuba pelbagai watak yang belum pernah saya lakonkan sebelum ini.

"Untuk filem Adinda, saya minta pengarah mematikan watak saya di penghujung cerita. Biarpun ditentang pengarah, Bahri Umararif atas alasan anti klimaks, namun, demi memenuhi keinginan saya, akhirnya dia akur.

"Cabaran lain yang saya hadapi adalah membawa 10 karakter berbeza dalam filem Kakak Kita Ke Jakarta. Ini bukanlah tugas mudah untuk saya bertukar karakter dalam masa singkat mengikut penampilan digayakan," katanya.

Selepas kehadiran cahaya mata, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 17 bulan, Fazura sudah bersedia menimang anak kedua.

Sedia timbang tawaran syarikat produksi lain, bukan milik eksklusif, Fazura Pictures.