BERITA ABPBH

Kiky finalis termuda ABPBH 37

11 Dec 2025 | A’qilah Riduan

KUALA LUMPUR: Pelakon Kiky Hannah menyifatkan pencalonan Top 10 kategori Aktres Pembantu Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37 sebagai satpenghormatan besar, lebih-lebih lagi apabila dapat sebaris dengan nama 'senior' dan idola selama ini.

Kiky atau nama sebenar, Hannah Qiassatina Herman, 13, mengakui tidak pernah terlintas untuk berada dalam kelompok sama dengan pelakon berpengalaman seperti Fasha Sandha yang menjadi idolanya sejak awal bergelar anak seni.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas pencalonan ini. Ini pencalonan pertama saya dalam anugerah berprestij seperti ABPBH. Saya anggap ini suatu penghargaan besar.

"Saya tidak sangka dapat sebaris dengan artis berpengalaman seperti Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan lebih istimewa, dapat berada dalam kategori sama dengan Fasha yang saya idolakan... Memang bangga sangat," katanya pada majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 37 di Hemisfera Luxury Sky Hall, Kuala Lumpur Tower di sini, baru-baru ini.

Mengulas peluang dalam kategori itu, Kiky mengakui dirinya calon termuda dan tidak dapat lari daripada gementar berdepan finalis 'senior'.

"Tekanan tidak ada. Namun, saya berdebar sebab bersaing dengan pelakon hebat dan berpengalaman.

"Dapat berdiri sebaris dengan mereka sudah cukup besar maknanya. Saya anggap ini suatu penghormatan.

"Tetapi, bagi saya, umur tidak penting. Apa yang mustahak adalah sikap, disiplin dan hasil kerja dalam lakonan. Saya harap dengan pencalonan ini saya dapat terus jadi yang terbaik.

"Kalauu dalam soal menang atau kalah, sebenarnya, dicalonkan sudah cukup buat saya bersyukur.

"Tetapi, secara jujur, kalau ditanya hendak menang ke tidak, mestilah mahu. Kemenangan itu bukan untuk saya seorang, sebalknya, untuk semua orang yang sentiasa bersama dengan saya dari awal," katanya.

Kiky percaya dirinya bolos pencalonan ABPBH 37 atas bimbingan Datuk Rosyam Nor ketika dia membawa watak sebagai anak beliau, Kamariah, dalam filem Memori Seorang Guru.

"Dalam filem Memoir Seorang Guru, Rosyam banyak membantu saya menjayakan watak.

"Beliau selalu titipkan nasihat kepada saya supaya menjadi pelakon berdisiplin dan memberi yang terbaik dalam setiap lakonan.

"Bukan itu sahaja, Rosyam banyak membimbing saya daripada segi intonasi, cara menyampaikan dialog dan memahami setiap naskhah dengan lebih mendalam.

"Saya sedar diri ini masih muda dan memang perlukan nasihat dan tip daripada pelakon berpengalmaan untuk saya terus maju ke hadapan," katanya.

Dorongan untuk berjaya

Kiky menyifatkan pencalonan ABPBH 37 sebagai dorongan besar dalam perjalanan seninya.

"Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi menyuntik semangat saya untuk terus memperbaiki diri dan menjadi pelakon lebih baik.

"Menang atau kalah bukan perkara utama. Apa yang penting, pengalaman ini memberi peluang untuk saya belajar, berkembang dan mengekalkan komitmen dalam setiap lakonan," katanya.