Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Khatijah Tan sudah tak minat berlakon?

25 May 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Sejak kehilangan pelakon dan pengarah, Pierre Andre dari radar seni, ibunya yang juga pelakon senior, Khatijah Tan sering menjadi tempat pertanyaan pelbagai pihak yang masih berminat mendapatkan khidmat anak sulungnya itu.

Meskipun puas memujuk, namun, Khatijah akui, kecewa dan putus asa membuatkan Pierre bulat hati tidak mahu terbabit dalam industri yang pernah menaikkan namanya, suatu ketika daahulu.

"Tak dinafikan, ramai bertanya ke mana Pierre menghilangkan diri. Ada yang menyatakan hasrat mahu bekerjasama, saya sendiri pernah berborak mengenai isu ini dengannya.

"Pierre masih rindukan bidang seni seperti berlakon dan mengarah. Namun, perasaan kecewa terhadap industri membuatkannya sudah tidak berminat untuk kembali aktif.

"Saya akui, Pierre seorang yang sensitif dan jangkaannya terhadap industri sangat tinggi. Apabila tidak dapat apa yang dimahukan, itu yang membuatkannya kecewa," katanya kepada HIP.

Mengulas lanjut, pelakon filem Jangan Pandang Belakang itu berkata, sebagai orang kreatif, Pierre mempunyai pelbagai idea menarik untuk diketengahkan, namun, pengalaman masa lalu membuatkannya serik.

"Bukanlah niat nak puji anak sendiri, tetapi Pierre seorang yang sangat kreatif. Ada banyak skrip yang dihasilkan, tetapi tak nak jual pada orang lain kerana tidak dapat apa yang dikehendaki.

"Mungkin juga Pierre berjumpa orang yang salah sehingga menyebabkan skrip dan ideanya tidak berkembang serta terbantut menyebabkannya merajuk," ujar pelakon berusia 62 tahun ini.

Ditanya adakah kebanyakan idea Pierre melangkaui masa atau lebih ke hadapan menyebabkan karyanya itu sukar untuk dilaksanakan, aktres berkaliber ini tidak menolak tanggapan itu.

"Agak sukar bekerjasama dengan orang yang boleh faham dengan jiwanya. Ada beza antara orang kreatif dengan bisnes.

"Kita hendak berkarya, tetapi fikiran orang berniaga lain. Bila terdapat banyak kekangan seperti bajet rendah, itu yang membuatkan mereka tidak serasi," luah Khatijah ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Tiga Janda Melawan Dunia, baru-baru ini.

Khatijah bersama barisan pelakon dan pengarah filem pada majlis tayangan perdana filem Tiga Janda Melawan Dunia, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Khatijah bersama barisan pelakon dan pengarah filem pada majlis tayangan perdana filem Tiga Janda Melawan Dunia, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Bagaimanapun, Khatijah berkata, peminat boleh melepaskan kerinduan terhadap karya anaknya menerusi saluran YouTube, Andre Brothers Pictures.

"Selain Pierre dan adiknya, Mikail Andre, saya juga terbabit dalam platform berkenaan. Ia memandangkan perkongsian Pierre lebih kepada kisah seram, penceritaan saya di pelantar itu juga lebih menjurus kepada pengalaman mistik yang pernah dilalui," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Khatijah yang sudah lapan tahun menetap di Ipoh, Perak memaklumkan, dia kini lebih selektif dalam memilih watak.

"Kalau ikutkan, saya sudah tidak berminat berlakon. Ini kerana saya tidak mahu membawakan watak sama seperti ibu.

"Antara sebab mengapa saya terima tawaran berlakon dalam filem Tiga Janda Melawan Dunia ini kerana saya perlu menyanyi rap.

"Jiwa saya lebih kepada keroncong. Apabila orang seperti saya kena menyanyi rap, sudah tentu ia satu cabaran buat saya," kata Khatijah.