Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Kesihatan mental pulih, Iqram mahu jadi contoh

11 May 2023 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Pelakon Iqram Dinzly pernah dianggap tidak waras gara-gara sering mempamerkan tindakan pelik menerusi platform media sosial, kini mengakui sudah menemui keseimbangan dan tujuan hidup.

Iqram atau nama sebenarnya, Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 41, berkata dia bersyukur masih diberi peluang untuk kembali berubah.

Malah, pelakon filem Evolusi KL Drift itu juga menjelaskan sedang giat membuka lembaran baharu dalam kehidupannya dengan menceburi bidang perniagaan.

"Saya bersyukur Allah memberikan saya keseimbangan dalam kehidupan. Kalau dahulu mungkin orang tidak faham di sebalik tindak-tanduk seseorang.

"Kalau lihat saya juga sibuk dengan perkara berkaitan industri lakonan, tetapi sekarang, Allah luaskan lagi pemandangan saya untuk melihat dunia.

"Dalam fasa ini saya mahu menggunakan pengaruh dimiliki sebagai figura dalam dunia media sosial dan perniagaan.

"Saya diberi peluang menceburi bidang perniagaan dan pada Ramadan lalu, saya membuka beberapa 'booth' di Johor, Singapura dan Brunei," katanya kepada BH Online.

Sebagai cara tidak lagi menoleh ke belakang, anak kelahiran Ipoh, Perak itu mahu menjenamakan semula nama pentasnya daripada Iqram Dinzly kepada Iq Dinzly.

Sebagai cara tidak lagi menoleh ke belakang, Iqram menjenamakan semula nama pentasnya daripada Iqram Dinzly kepada Iq Dinzly. - NSTP/Aizuddin Saad
Sebagai cara tidak lagi menoleh ke belakang, Iqram menjenamakan semula nama pentasnya daripada Iqram Dinzly kepada Iq Dinzly. - NSTP/Aizuddin Saad

Katanya, nama Iqram Dinzly terlalu sarat dengan pelbagai kisah, justeru mengambil langkah dapat berubah menjadi 'insan baharu'.

"Untuk masuk semula dalam industri lakonan sebagai Iqram Dinzly, mungkin tidak lagi. Tetapi saya akan menggunakan nama bahar,u iaitu Iq Dinzly.

"Jadi, Iqram Dinzly tidak akan wujud dalam dunia lakonan. Nama Iqram Dinzly terlalu 'berat' untuk dibawa dan terlalu banyak sejarahnya. Ia merangkumi sejarah manis, duka dan lara.

"Saya perlu buang 'beban' lama dan tidak boleh bawa nama Iqram Dinzly untuk terus bergerak ke hadapan.

"Saya cuma mahu jadi contoh kepada individu yang mahu keluar daripada masalah penyakit mental," katanya.

Jelas Iqram, dia tidak menganggap apa yang berlaku sebagai masalah kesihatan mental, selain menyifatkan segala hinaan orang ramai terhadapnya adalah anugerah Ilahi.

"Saya mahu tukar terma penyakit mental dengan menganggap ia adalah keistimewaan yang Allah berikan. Selain itu, penyakit ini juga sebagai penghapus dosa, jadi saya perlu menghargainya.

"Walaupun nakal atau jahat, tetapi jangan lupa solat kerana itu adalah kunci. Apa sahaja hinaan atau cercaan dilemparkan, saya anggap anugerah yang sangat berharga," katanya.

Iqram pernah mencipta kontroversi apabila melakukan tindakan seolah-olah individu tidak waras dalam media sosial, termasuk didakwa mempersendakan agama Islam dan mendakwa memiliki enam karakter berbeza.