BERITA ABPBH

Keprihatinan Bella sentuh hati Julia

23 Nov 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Pelakon Julia Farhana Marin terharu dengan keprihatinan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang menghubunginya ketika berdepan kemelut rumah tangga, tanpa bertanyakan punca atau mengorek kisah peribadinya.

Julia berkata, panggilan telefon Bella selama kira-kira 15 hingga 20 minit untuk bertanya khabar cukup bermakna, terutama ketika dia belum bersedia berdepan orang ramai selepas melalui pengalaman besar yang mengubah kehidupannya.

"Antara individu pertama yang menghubungi saya ialah Bella Astillah. Kami pernah menjalani penggambaran beberapa drama bersama sebelum ini.

"Selepas panggilan itu, saya menangis kerana merasakan perkara yang dilakukannya sangat menyentuh hati. Dia sanggup meluangkan masa daripada jadualnya yang sibuk hanya untuk bertanya sama ada saya okey atau tidak.

"Dia tidak bertanya apa yang berlaku, apa perancangan saya selepas ini atau cuba menghakimi. Dia hanya bertanya keadaan saya, bagaimana saya menghadapi semua yang berlaku dan sama ada saya mahu berkongsi sesuatu," katanya menerusi temu bual dalam podcast The Fitting Room bersama Nadia Mahmood.

Menurutnya, pendekatan Bella membuatkan dia berasa dihargai kerana apa yang diperlukan ketika itu bukan soalan mengenai kemelut yang dihadapi, sebaliknya keprihatinan seseorang yang benar-benar mahu mengetahui keadaannya.

Katanya, sikap mengambil berat tanpa disertai rasa ingin tahu terhadap masalah peribadi seseorang adalah sesuatu yang jarang ditemui, khususnya dalam industri hiburan.

Selain Bella, Shaza Bae dan Nelissa Nizam juga antara rakan yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya.

Mengakui bertuah dikelilingi sahabat yang ikhlas, Julia berkata, Nelissa antara individu yang tidak pernah menjadikan kemelut rumah tangganya sebagai topik perbualan, sebaliknya lebih mengutamakan keperluan dan keadaan dirinya.

"Nelissa antara kawan yang tidak peduli apa sebenarnya berlaku. Dia hanya akan tanya, 'Apa khabar? Apa yang awak perlukan?'

"Dia juga jenis yang sentiasa menyokong apa sahaja yang saya mahu lakukan. Kalau saya kata mahu bermain golf, dia akan terus merancang dan menempah tempat untuk kami pergi beberapa hari kemudian.

"Saya sangat bertuah kerana dikelilingi orang yang benar-benar baik," katanya.

Julia turut bersyukur apabila rakan sekerja di syarikat korporat tempatnya bekerja sepanjang tempoh berehat daripada lakonan tidak pernah mendesak atau bertanyakan perkara yang berlaku dalam kehidupan peribadinya.

Sebaliknya, mereka memberikan ruang untuknya menyesuaikan diri dan sekadar bertanya khabar secara santai setiap kali bertemu, termasuk ketika keluar makan tengah hari bersama.

Mengulas keputusan menyertai bidang korporat, Julia mengakui tidak mempunyai perancangan khusus selepas melalui pengalaman hidup yang cukup besar sehingga menjejaskan keupayaannya untuk berfungsi seperti biasa selama beberapa bulan.

Katanya, ketika itu dia memilih untuk memberikan ruang kepada diri sendiri bagi memahami apa yang berlaku, selain mengutamakan pemulihan emosi sebelum memikirkan langkah seterusnya dalam kerjaya seni.

"Saya sebenarnya tidak mempunyai perancangan. Apabila melalui pengalaman besar yang mengubah kehidupan, ada masanya kita seolah-olah menutup diri. Fikiran saya tidak berfungsi dengan baik selama beberapa bulan.

"Saya rasa sebab itu juga saya tidak muncul atau melakukan apa-apa ketika itu kerana saya benar-benar perlu meluangkan masa untuk diri sendiri, memahami keadaan dan paling penting memulihkan diri.

"Walaupun saya mula bekerja dalam bidang korporat, saya tahu saya perlu melakukan sesuatu dan keluar daripada keadaan itu.

"Saya belum bersedia kembali berlakon atau berdepan dengan rakan industri kerana tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan perbualan mengenai apa yang berlaku ketika itu," katanya.

Julia berkata, bukan semua pertanyaan orang sekeliling datang daripada niat untuk memahami keadaannya, malah ada yang sekadar mahu mengetahui cerita bagi membuat penilaian sendiri.

Justeru, dia menganggap pertemuan dengan individu yang menghormati ruang peribadi dan tidak meletakkan sebarang penghakiman sebagai sesuatu yang sangat bermakna sepanjang melalui fasa berkenaan.

Julia mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 14 Disember 2022.

Bagaimanapun, kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian selepas mereka dilihat tidak lagi berkongsi foto bersama dan tidak saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.

Julia sebelum ini mengesahkan mereka sudah hampir setahun membawa haluan sendiri dan tidak bertemu selama tujuh bulan, selain memaklumkan keputusan untuk berpisah dibuat atas persetujuan bersama.

Pelakon Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu berkata, urusan dokumentasi permohonan perceraian sudah selesai dan mereka hanya menunggu prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, Julia memilih untuk tidak mendedahkan punca sebenar keretakan rumah tangga kerana tidak mahu bercerita dari sebelah pihak sahaja.