Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Syawal yang bakal berlabuh meninggalkan kenangan manis kepada kumpulan nasyid, InTeam yang diundang mengadakan persembahan di hadapan 72 delegasi asing yang menghadiri The World Muslim Communities Council (TWMCC) di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman itu, anggota InTeam, Hazamin atau nama penuh, Muhammad Hazamin Harun, memberitahu, mereka membuat persembahan pada Syawal kelima lalu.
"Alhamdulillah, Ramadan lalu, kami dihubungi penganjur yang juga anggota alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengundang InTeam membuat persembahan di TWMCC.
"Biarpun majlis berlangsung ketika umat Islam meraikan minggu pertama Aidilfitri, kami terima jemputan kerana peluang membuat persembahan di hadapan delegasi asing amat berharga," katanya kepada BH Online.
Hazamin menambah, TWMCC dihadiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Sementara itu, seorang lagi anggota InTeam, Rahim atau nama penuh, Abdul Rahim Osman berkata, mereka membuat persembahan pada majlis makan malam sempena persidangan itu.
"Majlis makan malam itu dihadiri lebih 300 delegasi dari pelbagai negara. Kami mengenakan baju Melayu bagi memperkenalkan busana tradisional dan kebudayaan negara kita.
"Anggota delegasi sangat sukakannya dan mengambil peluang beramai-ramai untuk bergambar bersama kami.
"Malah, seorang daripada wakil delegasi dari Tunisia iaitu seorang lelaki naik ke pentas dan mencium dahi seorang daripada kami. Dia juga memeluk kami sebagai tanda penghormatan dan penghargaan," katanya.
Pada malam itu, persembahan InTeam diiringi rakan pemuzik iaitu Fuad Ko yang bermain gitar, Hafiedz Udu (perkusi),
Firlany (gambus, seruling dan akordian) dan Shahrulhikmi (shaker dan tamborin).
InTeam yang turut dianggotai Syah atau Mohd Syahril Abdul Khalid berada di UAE selama lima hari dan sempat meluangkan masa bersiar-siar di bandaraya itu dan Dubai.