Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Kecoh bergambar dengan anjing, Baby Shima pertahan hak

07 Jul 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Tular apabila foto memaparkan dirinya bersama seekor anjing tersebar hingga menjadi topik hangat netizen, penyanyi Baby Shima mempertahankan hak untuk bebas mendekati dan menyayangi haiwan.

Shima atau nama sebenar, Nor Ashimah Ramli menjelaskan dia tahu menjaga batas, apatah lagi, tidak salah bagi manusia berbaik dengan haiwan.

"Tempoh hari, apabila Shima memberi makan pada anjing dan monyet pun kena kecam, dimaki dan dihina.

Tindakan Baby Shima memuat naik foto bersama seekor anjing dipercayai di hadapan sebuah hotel, baru-baru ini, mencetuskan pelbagai reaksi netizen. Foto IG Baby Shima
Tindakan Baby Shima memuat naik foto bersama seekor anjing dipercayai di hadapan sebuah hotel, baru-baru ini, mencetuskan pelbagai reaksi netizen. Foto IG Baby Shima

"Tidak salah untuk kita berbaik dengan haiwan, lagipun Shima tahu batasannya," luahnya melalui entri di media sosial.

Baru-baru ini, tindakan penyanyi dangdut itu memuat naik foto bersama seekor anjing dipercayai di hadapan sebuah hotel, mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Rata-rata, komen ditinggalkan netizen berbaur negatif. Ada yang mendakwa penyanyi berusia 30 tahun itu sengaja meminta untuk dikecam demi kandungan laman sosialnya.

Tidak berpuas hati dengan kecaman netizen, Baby Shima memuat naik beberapa hantaran berkaitan insiden itu.

Dalam hantaran berasingan, Baby Shima berkata, dia akan terus memberi makan kepada pelbagai jenis haiwan dan tidak kisah jika tindakan itu terus dikecam.

"Buat baik dengan haiwan kena kecam, bagi makan pada haiwan pun dikecam. Tidak kisahlah haiwan itu anjing, babi atau kucing, kalau haiwan itu lapar dan minta makan dengan aku, aku tetap bagi.

"Walaupun maki dan kecam, aku akan tetap berbaik dengan semua haiwan," katanya.

Sementara itu, Baby Shima meminta netizen tidak terlalu cepat menilai dirinya. Namun, akuinya, setiap teguran dan sokongan peminat cukup dihargai.

Bekas peserta musim ketiga program realiti, D'Academy Asia (DAA3) di Jakarta, Indonesia pada 2017 ini juga menafikan mencipta kandungan murah demi meraih populariti.

"Apa saja saya buat, semuanya tidak kena di mata. Namun, saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana bukan mudah hendak menutup mulut orang," katanya.