BERITA ABPBH

Kaji akta sebelum salahkan FINAS

[email protected]

KUALA LUMPUR: Beberapa isu berbangkit seperti had kerja masa penggiat seni menimbulkan kekecohan, baru-baru ini.

Bukan hanya artis, malah Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) lebih proaktif mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan industri perfileman negara.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim turut terheret dan dipersalahkan.

Mengulas kenyataan SENIMAN seolah-olah serangan peribadi kepadanya, Md Nasir berkata, dia seboleh-bolehnya enggan melayan perkara remeh, sebaliknya mahu terus berusaha dalam memberi manfaat pada industri kreatif.

"Isu berbangkit berkaitan dengan had kerja masa, jadi kena ulang kaji akta dan tengok betul-betul klausa yang diperuntukkan.

"Jika berkaitan had masa bekerja, ia terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia di mana akta antara majikan dan pekerja. Cara mudahnya, pelakon terletak di bawah kontrak servis iaitu berdasarkan projek dan termaktub dalam Akta Kerja 1955.

"Jadi, apa pun berlaku, ia tertakluk pada Akta Kerja 1955, tetapi di luar bidang kuasa FINAS. Kaji betul-betul sebelum menyalahkan FINAS.

"Saya sudah melihat dan memahami Akta Kerja 1955. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, mungkin kefahaman dan tafsiran kita terhadap sesuatu akta berbeza," katanya kepada BH Online.

Md Nasir berkata, dia tiada masalah jika pihak tertentu berterusan membuat serangan peribadi kepadanya.

"Jika berterusan menyerang peribadi saya, biarlah, saya tahu apa yang saya lakukan dan pencapaian dalam tempoh setahun menduduki kerusi CEO FINAS.

"Alhamdulillah, rasanya sudah banyak perkara boleh dibanggakan, tetapi saya tak suka membanggakan diri," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran The Journey of Humankind dan siri animasi Nabi Musa AS Kalimullah di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, di sini, baru-baru ini.

Tambah Md Nasir, dia sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaiknya.

"Saya buat apa yang saya mampu. Fokus saya membina nama baik FINAS dan pada masa sama, memastikan industri kreatif terus berkembang selepas dilanda pandemik COVID-19 selama dua tahun.

"Saya serahkan pada Allah apa berkaitan serangan peribadi. Kepada individu berprasangka buruk terhadap saya, semoga Allah memberikan petunjuk," katanya.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi menerusi kenyataan media menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap kenyataan Md Nasir yang disifatkan seperti melepaskan batok di tangga dan makan gaji buta.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi menerusi kenyataan media menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap kenyataan Md Nasir yang disifatkan seperti melepaskan batok di tangga dan makan gaji buta.

Mengulas desakan beberapa pihak mahukannya meletakkan jawatan, Md Nasir berkata, dia menyerahkan penilaian dan pelantikan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

"Rezeki di tangan Allah. Hendak desak saya letak jawatan, tetapi selagi kita bekerja dengan ikhlas, jujur dan fokus, insya Allah semuanya akan baik-baik.

"Sebaik memegang jawatan CEO, saya sudah membangunkan satu pelan strategik yang belum pernah diwujudkan di FINAS.

"Saya mempunyai kemahiran dan pengetahuan menghasilkan satu pelan strategik, malah pernah menghadiri kursus kepimpinan selama setahun.

"Bagi saya, kita akan nampak hala tuju kita selama lima tahun mendatang apabila membangunkan pelan strategik.

"Alhamdulillah, perancangan awal berjalan dengan baik. Tahun lalu, FINAS membangunkan satu pelan strategik dan sekarang, pelaksanaan sedang dilakukan dan sudah nampak kejayaan awal.

"Contohnya, isu penerbit dan pempamer bengang apabila pemilik panggung wayang mengambil keuntungan berlebihan," katanya.

Sehubungan itu, Md Nasir berkata, dia terbuka jika khidmatnya dirasa tidak memuaskan dan di bawah penilaian menteri.

"Jika salah, saya boleh memperbaiki. Saya bukan manusia sempurna yang tahu segalanya," katanya.

Dalam masa sama, Md Nasir menggalakkan penggiat industri mahupun wakil persatuan bersemuka dengannya untuk menyelesaikan isu berbangkit.

"Elok jika bertemu saya. Saya tiada masalah bersemuka dan mengalu-alukan pandangan persatuan kerana mereka tahu apa yang berlaku dalam industri dan ia juga untuk kebaikan ahli, jadi perlu lakukan penambahbaikan.

"Sekiranya dalam bidang kuasa, FINAS akan cuba melaksanakan. Tetapi, jika di luar bidang kuasa, saya cuba mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu," katanya.

Terdahulu, SENIMAN menerusi kenyataan media menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap kenyataan Md Nasir yang disifatkan seperti melepaskan batok di tangga dan makan gaji buta.

Malah, SENIMAN mencadangkan kepada menteri agar pelantikan CEO FINAS secara lantikan politik perlu dihentikan, di mana pelantikan CEO atau ketua pengarah harus berlaku secara semula jadi pada peringkat dalaman FINAS.

Perkara tersebut kemudian disusuli kenyataan mendakwa FINAS menghalau SENIMAN, berikutan pengosongan ruangan parkir kenderaan SENIMAN di FINAS.