KUALA LUMPUR: Pelakon, Julia Farhana Marin seakan memberi bayangan rumah tangganya bersama Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum sudah berakhir apabila berkongsi gambar hitam putih bersama lelaki itu di kamar mahkamah, selain merujuknya sebagai bekas suami menerusi surat terbuka yang menyentuh hati.
Menerusi perkongsian di Instagram, Julia meluahkan penghargaan terhadap bekas suaminya itu atas segala tahun yang dilalui bersama, selain mengakui kedua-duanya pernah berusaha menjadi pasangan terbaik buat satu sama lain.
Dalam surat terbuka berjudul Surat Terbuka Buat Bekas Suami, Julia berkata, meskipun mereka tidak berjaya memperbaiki segala perkara dalam rumah tangga, dia berharap bekas suaminya tidak pernah meragui keikhlasannya untuk mempertahankan hubungan itu.
"Terima kasih, dengan sepenuh hati, atas segala tahun yang dilalui ketika kamu berusaha menjadi suami terbaik buat saya. Saya harap kamu tahu bahawa saya juga sudah berusaha dengan segala cara yang saya tahu untuk menjadi isteri terbaik buat kamu," tulisnya.
Julia turut mengakui, sepanjang menjalani kehidupan bersama, mereka mungkin pernah melakukan kesilapan dan saling melukakan hati tanpa disengajakan.
Bagaimanapun, pelakon itu percaya perpisahan yang berlaku adalah ketentuan Allah, selepas kedua-duanya sampai ke satu tahap perceraian menjadi jalan terbaik untuk meneruskan kehidupan masing-masing.
"Malangnya, qada dan qadar, takdir kita. Mungkin inilah cara kisah kita sepatutnya berakhir.
"Sesukar mana pun untuk menerima kenyataan itu, akhirnya kita sampai ke satu tahap apabila perceraian menjadi satu-satunya jalan ke hadapan buat kita berdua," katanya.
Dalam luahan sama, Julia turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang bergelar isteri, selain menyatakan sudah berdamai dengan segala yang berlaku dan memaafkan bekas suaminya.
Katanya, dia tidak mahu membawa rasa dendam atau kesal ke dalam kehidupan baharu yang bakal ditempuhi mereka.
Julia juga menghargai segala pengalaman, kenangan dan pengajaran yang diperoleh sepanjang membina kehidupan bersama, meskipun perjalanan rumah tangga mereka tidak sempurna.
"Tidak semuanya sempurna, tetapi itu tidak bermakna apa yang kita lalui tidak mempunyai makna," katanya.
Lebih menyentuh hati, Julia mendoakan agar bekas suaminya dikurniakan kebahagiaan, ketenangan, kesihatan yang baik serta cinta yang membuatkan dirinya berasa difahami, dihargai dan diterima.
Dia turut berharap Che Hafiz dapat mencapai segala impian yang diinginkan, selain mendoakan agar bekas suaminya turut mendoakan perkara sama buat dirinya.
"Lebih daripada segala-galanya, saya berharap kita berdua dapat menemukan ketenangan yang mungkin tidak berjaya kita temukan ketika bersama," luahnya.
Julia turut berharap mereka tidak mengenang hubungan yang pernah terjalin hanya melalui perkara yang tidak menjadi, sebaliknya menghargai hakikat bahawa mereka pernah memilih satu sama lain dan benar-benar berusaha membina kehidupan bersama.
Katanya, ada sesuatu yang wajar dihargai daripada perjalanan itu, meskipun hubungan yang diharapkan kekal selamanya akhirnya tidak bertahan seperti yang dibayangkan.
Mengakhiri surat terbuka itu, Julia mendoakan agar Allah mengampunkan segala kekurangan mereka, mempermudah perjalanan hidup, menyembuhkan luka yang masih tertinggal di hati serta mengurniakan kebahagiaan dalam kehidupan mendatang.
"Jaga diri. Dan terima kasih, atas segala-galanya, Che Hafiz," tulisnya.
Bagaimanapun, Julia tidak memperincikan bila perceraian mereka berlaku.
Terdahulu, Julia mendedahkan pengalaman meninggalkan rumah kelamin sehelai sepinggang dan sebuah beg tangan berisi barangan penting, termasuk kad pengenalan.
Pelakon itu berkata, pengalaman berkenaan memberi kesan mendalam terhadap emosinya sehingga dia memilih untuk berehat daripada aktiviti seni bagi memberi ruang kepada diri sendiri untuk pulih.
Bagaimanapun, proses perceraian mereka dilaporkan masih berjalan dan kedua-duanya menunggu urusan mahkamah diselesaikan.
Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022 menerusi majlis akad nikah tertutup di sebuah hotel di ibu negara.