KUALA LUMPUR: Turut sibuk berniaga selain bergelar penyampai radio, pelawak dan pengacara popular, Johan mengakui segala usaha kerasnya bukan sekadar mencari rezeki untuk anak-anak, sebaliknya demi memberikan keselesaan buat isteri tercinta, Ozlynn Waty.
Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, berkata fokusnya kini lebih kepada membina kehidupan bahagia bersama isteri, kerana menyedari suatu hari nanti anak-anak akan membawa haluan sendiri.
"Bila saya balik rumah selepas penat bekerja, saya cari isteri saya dulu. Anak-anak nanti membesar dan akan keluar rumah bila berkahwin. Akhirnya, saya akan hidup dengan isteri saya sahaja. Saya mahu biasakan perkara itu dari sekarang," katanya.
Mengulas lanut, Johan tidak merancang mewariskan perniagaannya kepada anak-anak, sebaliknya lebih menekankan pemberian ilmu dan pendidikan yang cukup sebagai bekalan masa depan.
"Saya kerja keras bukan untuk cari harta bagi anak cucu, tapi untuk isteri. Anak-anak saya sudah saya bekalkan dengan tiga perkara penting iaitu pendidikan, ilmu dan pelajaran. Dengan itu, mereka boleh cari kekayaan sendiri," katanya ditemui pada majlis pelancaran GGR X Johan di Restoran Itik ke Ayam, di sini, baru-baru ini.
Bagi Johan, anak-anak perlu diberi ruang untuk menentukan masa depan dan minat mereka tanpa tekanan daripada ibu bapa.
"Saya tidak harapkan balasan daripada mereka, cukup saya pastikan mereka mendapat pendidikan terbaik. Itu tanggungjawab saya sebagai bapa.
"Selagi saya hidup, kekayaan saya bukan untuk mereka. Saya mahu mereka belajar berdikari dan faham nilai usaha. Lagipun, anak tidak semestinya minat apa yang kita minat. Kena galakkan mereka teroka minat sendiri," katanya.
Pasangan Johan dan Ozlynn mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Sodiq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania, Nur Latifah Moleiq Hanania dan Nur Latifah Cherdiq Hanania.
Dalam perkembangan lain, penyampai radio Hot FM itu kini tampil sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat permotoran tempatan, GGR Motor, yang aktif dalam pembangunan motosikal elektrik (EV) dan ekosistem mobiliti hijau.

Dia berkata, peluang menceburi bidang baharu ini memberi kepuasan tersendiri kerana membuka dimensi baharu dalam kerjaya dan keusahawanannya.
Majlis berkenaan turut diserikan oleh kehadiran rakan penyampai radio Hot FM yang juga sahabat baiknya, Khairy Jamaluddin (KJ) yang merasmikan pembukaan kedai itu.