KUALA LUMPUR: Perasaan pelakon Jasmine Suraya Chin bercampur baur, antara teruja dan gementar apabila diamanahkan menghidupkan watak bekas ratu boling negara, Shalin Zulkifli dalam drama Ratu Ten Pin 2: Shalin musim kedua.
Wanita kelahiran Bumi Kenyalang itu berpendapat, melakonkan watak fiksyen atau rekaan lebih mudah berbanding watak tokoh yang masih hidup.
Menerusi karya terbitan JS Pictures Sdn Bhd arahan Azman Yahya (Jinggo) itu turut menuntut banyak pengorbanan. Ia termasuk menambah berat badan, selain memotong rambut agar kelihatan seperti karakter Shalin yang agak 'tomboy'.
"Ini antara watak paling sukar saya lakonan. Namun, saya anggap ia sebagai cabaran untuk tidak terus berada pada zon selesa. Berlakon watak rekaan mungkin lagi senang.
"Berlakon watak ini membuka mata saya terhadap usaha Shalin untuk melakarkan kecemerlangan.
"Bayangkan, sebelum penggambaran drama ini, saya begitu menjaga badan dan diet. Badan boleh dianggap 'fit' kerana kekerapan bersenam.
"Demi watak ini, saya perlu menambah berat badan dan memotong rambut. Malah, saya perlu menghitamkan kulit badan dengan berjemur di bawah panas terik antara jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari," katanya kepada BH Online menerusi temu bual secara virtual, baru-baru ini.
Malah, pelakon filem Paskal dan Pasal Kau! itu juga turut membiasakan bergaya berjalan dan lagak seperti Shalin.
"Saya membeli dan menyarung pakaian agak maskulin, mengenakan topi dan beg galas. Cara berjalan saya cuba tiru.
"Pada suatu tahap saya terbawa-bawa dengan karakter Shalin. Saya bimbang berehat lama, takut 'roh' watak Shalin hilang.
"Namun, saya lega mendengar komen Shalin dalam usaha saya menghidupkan wataknya," katanya.
Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ekonomi, Universiti Monash, Melbourne, Australia itu berkata, dia berharap diberi masa panjang untuk melakonkan watak berkenaan.
"Penggambaran drama mengambil masa selama tiga bulan., Saya akan lebih meneroka karakter jika diberi lebih masa. Begitulah dalam hidup, kita takkan pernah puas dengan apa dilakukan.
"Saya tak lupa kesukaran, kenangan dan pengalaman menghidupkan watak ini. Malah, mental saya seakan penat selesai penggambaran.
"Selama tiga bulan saya berehat tanpa menerima tawaran berlakon. Jujurnya, saya jadi fobia dengan sukan boling. Sangkaan saya senang, tetapi sebaliknya.
"Namun, nak kata serik, tidaklah. Jika diberi peluang, saya nak cuba berlakon kisah yang membabitkan sukan badminton pula," katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Adellea Sofea dan Bidadari Salju itu berkata, dia juga merumuskan antaranya dan Shalin mempunyai persamaan, terutama semangat perjuangan dimiliki.
"Ketika masih muda, saya memang ada sifat perjuangan seperti Shalin. Saya boleh merasakan perasan kecewa ketika melakonkan wataknya setiap kali gagal dalam perlawanan.
"Bermain boling nampak seperti mudah, tetapi tangan boleh berdarah, sakit pinggang dan macam-macam lagi. Namun, itulah cabaran berlakon kerana berpeluang menjadi orang lain," katanya.
Jasmine turut memuji cara Sheila Rusly dalam memastikan pelakon benar-benar menjiwai watak diamanahkan.
"Sheila tidak akan terus berpuas hati jika babak dilakonkan masih belum mencapai piawaian sempurna. Jika tak capai kehendak, Sheila akan pastikan pelakon berjaya mendapatkan apa yang diingini.
"Saya mula faham dengan hala tuju dan caranya selepas melihat drama ini disiapkan," katanya.
Drama 20 episod ini adalah kesinambungan Ratu Ten Pin yang disiarkan, tahun lalu.
Musim kedua drama produksi milik Sheila dan Jinggo ini mengambil inspirasi kisah hidup Shalin sekitar 80 peratus.
Ia membabitkan naratif utama kisah Shalin termasuk bibit permulaan berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.
Drama Ratu Ten Pin 2: Shalin musim kedua disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di Astro Ria, mulai hari ini.
Selain Jasmine, drama itu turut dibintangi Sheila, Elisya Sandha, Nazim Othman dan ramai lagi.