Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Janna terguris dilabel 'orang gila'

06 Nov 2021 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Hanya disebabkan keterbukaannya berkongsi masalah bipolar disorder yang dialami, pelakon Janna Nick pernah dilabelkan 'orang gila' oleh warga netizen.

Jauh di sudut hati, Janna akui, hatinya terguris dengan panggilan orang gila.

Namun, katanya, itu membuktikan masih ada golongan yang tidak memahami situasi sebenar pesakit mental apabila menganggap mereka kurang siuman.

"Apabila berkongsi keadaan sebagai pesakit bipolar disorder yang sering mengalami situasi otak sangat bising kerana mendengar lima suara sepanjang hari, netizen menuduh saya orang gila.

"Keadaan ini menimbulkan persoalan dalam diri betapa masih ada masyarakat tidak faham mengenai penyakit bipolar disorder apabila menyifatkannya sebagai kurang siuman.

"Tidak semua pesakit bipolar disorder itu gila. Tetapi, ada juga pihak yang memahami dan menyelar tindakan netizen yang melabelkan saya orang gila," katanya kepada BH Online.

Walaupun berdepan dengan situasi sukar, namun Janna atau nama sebenarnya, Nurul Janna Muner lebih selesa melihat penyakit dialami dari sudut positif.

"Penyakit bipolar disorder memang tiada penawar kerana ia berlaku disebabkan genetik, bukannya tekanan kerja. Malah saya sudah lama mengalaminya, cuma lambat mendapatkan rawatan.

"Saya kini bergantung dengan ubat anti-kemurungan, selain mendapatkan rawatan pakar psikiatri. Walaupun terpaksa bergelut dengan penyakit ini, namun, apa yang membuatkan saya terharu apabila ada rakan selebriti menjadikan pengalaman saya sebagai sumber rujukan.

"Mereka ini diagnosis mempunyai masalah mental seperti saya, namun, tidak mempunyai sistem sokongan kuat untuk menghadapinya.

"Jadi, inilah tugas saya dalam membantu rakan artis dengan memberi sokongan dan semangat supaya dapat terima keadaan diri mereka," kata pelakon drama rantaian Syurga Nur dan Misteri Mona ini.

Janna menyimpan hasrat kembali menggenggam trofi Artis Versatil Popular. - Foto IG Janna Nick
Janna menyimpan hasrat kembali menggenggam trofi Artis Versatil Popular. - Foto IG Janna Nick

Menyedari betapa perlu maklumat tepat mengenai penyakit bipolar, Janna berhasrat memberi lebih pendedahan kepada masyarakat.

"Sebelum ini, saya tiada rasa tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat. Tetapi, apabila saya mengalami penyakit ini, terdetik untuk bekerjasama dengan badan berkaitan mewujudkan kempen kesedaran.

"Saya ingin menyampaikan lebih banyak maklumat tepat kepada pesakit supaya tidak menghukum diri dengan menamatkan riwayat disebabkan penyakit ini.

"Penyakit mental ini hanya membabitkan otak, bukannya tubuh. Selain itu, kita juga perlu didik masyarakat tidak menganggap pesakit bipolar disorder sebagai orang gila. Tuduhan mereka menambahkan tekanan kepada pesakit," ujarnya.

Mengulas kejayaannya membolosi kelompok Top 5 bagi tiga kategori Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, bekas pengacara program Melodi ini mengakui, menyimpan hasrat kembali menggenggam trofi Artis Versatil Popular.

"Saya pernah menang kategori Artis Versatil Popular pada ABPBH 32, dua tahun lalu. Dan itulah juga trofi yang saya idamkan, tahun ini. Jika menang, ia nampak lebih menonjol kerana menunjukkan saya menguasai pelbagai cabang seni.

"Namun, jika ditakdirkan saya menang kategori Pelakon Filem Wanita Popular atau Pengacara TV Popular, saya tetap terima kerana saya masih aktif dalam dua bidang ini," luahnya dengan jujur.

Bertanding ABPBH 34 pada musim pandemik COVID-19, Janna menyimpulkan situasi itu memberi kekangan kepadanya dalam pelbagai aspek.

"Sebelum ini, kita dapat bertemu peminat dalam acara jelajah ABPBH. Dari situ, boleh saksikan sambutan diberikan peminat, sekali gus menilai peluang untuk menang, selain memudahkan mengatur strategi undian.

"Justeru, saya tidak berani meramal apakah ada peluang menang atau sebaliknya. Saya hanya mampu serahkan kepada peminat dan rezeki," katanya.

Mei lalu, Janna berkongsi masih menjalani rawatan dengan pakar psikiatri untuk mengubati gangguan bipolar disorder. Janna juga mendedahkan pernah dua kali cuba membunuh diri kali sepanjang hidupnya.