Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Dengan 86,374,777 undi, trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, milik artis serba boleh, Janna Nick.
Janna yang mula menceburkan diri dalam dunia seni sejak sembilan tahun lalu, mengumpul undian tertinggi dalam sejarah penganjuran ABPBH, menewaskan calon 'favourite' lain seperti Haqiem Rusli, Siti Nordiana, Khai Bahar, Siti Saleha dan Ben Amir.
Selain trofi utama, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah popular berusia 26 tahun ini membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular mengetepikan empat calon lain iaitu Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Zahirah MacWilson dan Aprena Manrose.
Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner turut memenangi trofi Pengacara TV Popular menewaskan Azira Shafinaz, Mira Filzah, Sherry dan Jihan Muse.
Kemenangan Janna diumumkan pada Malam Kemuncak ABPBH 34 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, malam tadi.
Selain trofi, Janna menerima sebuah kereta dan telefon pintar Xiaomi 11T Pro (8GB + 256GB) bernilai RM2,099 sumbangan penaja utama ABPBH 34, Xiaomi.
ABPBH 34 bertemakan #KITABERSAMA dibawakan oleh Xiaomi dan dikendalikan tanpa penonton mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.
Menyoroti karier gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini, Janna menjadi antara selebriti yang tidak pernah lekang dihimpit kontroversi.
Ada sahaja cerita negatif menghambat dirinya, baik dalam aspek kerjaya, peribadi mahupun imej. Semua ini mengheret bekas pengacara Melodi itu dalam kemelut tidak berkesudahan.
Mei lalu, Janna berkongsi menjalani rawatan dengan pakar psikiatri untuk mengubati gangguan bipolar disorder.
Dalam satu lagi pengakuan mengejutkan, Janna mendedahkan pernah dua kali cuba membunuh diri sepanjang hidupnya.
Terbaru, Janna terguris dilabelkan 'orang gila' oleh warga netizen apabila berkongsi sering mengalami situasi otak yang didakwa sangat 'bising' kerana mendengar lima suara sepanjang hari.
Biarpun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program hiburan sensasi, Melodi terbitan TV3 yang dikendalikan selama empat tahun berakhir 25 Julai lalu, minat Janna dalam dunia pengacaraan tidak pernah padam.
Sementara itu, ABPBH 34 yang melabuhkan tirai malam tadi, mencipta beberapa kejutan termasuk kemenangan calon 'underdog' sekali gus mencerminkan cita rasa dan kecenderungan pengundi yang beralih kepada kandungan platform digital sejak penularan pandemik COVID-19, kira-kira dua tahun lalu.
Antara kejutan ABPBH 34, remaja autisme berusia 19 tahun, Asif Suhaimi menewaskan calon 'senior' apabila diumumkan pemenang kategori Artis Komedi Popular.
Mula mengumpan peminat apabila muncul dalam Drama Spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan sepupu, Syahmi Sazli yang mencetuskan fenomena pada era pandemik COVID-19, Asif mencuit hati dengan gelagat bersahaja dan dialek Kelantan.
Asif menewaskan artis nama besar iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce yang bersaing dalam kategori sama.
Kejayaan bakat baharu, Dinie Rashid menewaskan pesaing terdekat, Meerqeen dengan membolot trofi Artis Baharu Lelaki Popular juga mengejutkan peminat.
Dinie atau nama sebenar, Muhammad Dinie Abdul Rashid yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikutan mengalami 'molecular dystrophy' hingga mengakibatkan saraf mata rosak, menewaskan rakan seangkatan program Big Stage 2020 iaitu Fadh Majid; bekas juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar dan penyanyi, Aliff Iskandar.
Selain itu, dua kategori 'hot' iaitu Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi dan Penyanyi Wanita Popular Xiaomi menyaksikan Haqiem Rusli mempertahankan trofi dimenangi tahun lalu dan Siti Nordiana kembali menguasai kategori berkenaan menewaskan pencabar terdekat, Wany Hasrita.
Selain trofi, Haqiem dan Siti Nordiana masing-masing menerima telefon pintar Xiaomi 11T Pro (8GB + 256GB) bernilai RM2,099 sumbangan penaja utama ABPBH 34, Xiaomi.
Selain itu, bakat bintang 'otai' turut diiktiraf apabila Liza Abdullah, iaitu pelakon era 1980-an yang 'viral' dengan watak Mak Leha iaitu ibu mentua jahat dalam drama rantaian, 7 Hari Mencintaiku 2 menang trofi kategori online, Watak Antagonis Popular.
Liza memusnahkan impian empat calon muda lain iaitu Hannah Delisha yang membintangi drama Cinta Sekali Lagi; Fify Azmi (Ryan Aralyn), Ashraf Muslim (Ada Apa Dengan Dosa) dan Ain Edruce (Camelia).
Sementara itu, Ejen Ali mengungguli kategori yang kali pertama diperkenalkan di pentas ABPBH iaitu Watak Animasi Popular.
Mencetuskan fenomena, filem Ejen Ali iaitu projek kolaborasi antara Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation, meraih kutipan RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan pada 2019.
Ejen Ali mengetepikan empat calon lain iaitu Boboiboy, Upin & Ipin, Mechamato dan Alif & Sofia.
Selain itu, dua kategori mencuri tumpuan ramai iaitu Pelakon Lelaki TV Popular dan Pelakon TV Wanita Popular menyaksikan pemenang tahun lalu, Ben Amir dan Siti Saleha mengekalkan penguasaan mereka dalam produk drama TV dengan meraih trofi berkenaan.
Keputusan ABPBH 34
Bintang Paling Popular: Janna Nick
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Datuk Habsah Hassan
Kategori Utama
Artis Baharu Lelaki Popular: Dinie Rashid
Artis Baharu Wanita Popular: Dolla
Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi: Haqiem Rusli
Penyanyi Wanita Popular Xiaomi: Siti Nordiana
Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin
Pelakon Filem Wanita Popular: Janna Nick
Pelakon TV Lelaki Popular: Ben Amir
Pelakon TV Wanita Popular: Siti Saleha
Penyampai Radio Popular: DJ Lin
Pengacara TV Popular: Janna Nick
Artis Versatil Popular: Siti Nordiana
Artis Komedi Popular: Asif Suhaimi
Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular: Aina Abdul dan Khai Bahar (lagu Nafas Cinta)
Watak Animasi Popular: Ejen Ali
Kategori Online
Gandingan Serasi Drama Popular: Kamal Adli dan Uqasha Senrose (drama Perempuan Tanpa Dosa)
Gandingan Serasi Filem Popular: PU Riz dan Wanna Ali (filem Ada Apa Dengan Dosa)
Watak Antagonis Popular: Liza Abdullah
YouTuber Popular: Aqil Zulkiflee
Artis TikTok Popular: Khai Bahar
Anugerah FANtastik Popular: Siti Nordiana FC