Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Sejurus kisah cerai talak tiga isteri kedua selesai, isu lain pula mengheret pelakon, Amar Asyraf, 36, ke kancah kontroversi, minggu lalu.
Kali ini, ia tetap berlingkar menerusi isu perkahwinan apabila Amar didakwa berkahwin kali ketiga susulan gambarnya bersama seorang wanita dan dua cahaya matanya tersebar.
Menerusi gambar dimuat naik pada 19 Mac lalu dipercayai menerusi Instagram (IG) milik ibu kepada pelakon drama Perempuan Itu, Amar didakwa berkahwin lagi.
Bagaimanapun, Amar enggan kisah peribadi menjadi bualan utama selepas namanya sekali lagi menjadi tumpuan.
Justeru, Amar atau nama sebenarnya, Amar Asyraf Zailuddin memohon orang ramai menghormati privasinya dan keluarga.
Malah, Amar juga memilih tidak berkongsi lebih terperinci mengenai status perkahwinan kali ketiganya.
Mengulas dakwaan berkahwin kali ketiga, Amar enggan berkongsi soal peribadi,
"Minta maaf, saya sebenarnya tiada apa-apa mahu berkongsi.
"Bukan saya mahu merahsiakannya, tetapi lebih memilih untuk menjaga privasi rumah tangga.
"Rasanya soal peribadi tetap kekal sebagai peribadi, lebih baik simpan sendiri. Mungkin ahli keluarga dan orang yang terdekat sahaja mengetahuinya," katanya kepada BH Online.
Amar berkata, apa yang terjadi sebelum ini memberi pengajaran besar buatnya.
"Jadi, saya tidak mahu berkongsi apa-apa lagi mengenai kehidupan peribadi.
"Namun, jika ada yang tahu, tahulah. Lagipun, saya berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang berpesan agar tidak berkongsi usia, harta dan kisah keluarga kepada umum.
"Saya sangat berharap tiada pihak mengganggu ketenangan saya dan keluarga memandangkan sekarang, saya lebih aktif dalam bidang perniagaan produk wangian.
"Kehidupan saya sudah tenang, harap sangat tiada mana-mana pihak mengganggu privasi kami. Saya juga kini lebih fokus kepada dunia perniagaan," katanya.
Pelakon drama Jujurlah Nikahi Aku dan Rindu Yang Terindah itu berkata, dia lebih memberi tumpuan kepada perniagaan menjual produk wangian menerusi laman sosial, House Of Amar dan produk Dmgia.
"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya memang sibuk berniaga, di mana saya mula berniaga barangan terpakai atau 'bundle'.
"Kemudiannya, saya berniaga wangian rumah dan kereta. Alhamdulillah, sekarang saya fokus kepada perniagaan wangian yang diimport dari luar negara.
"Insya-Allah, saya akan keluarkan produk wangian sendiri pula. Selain itu, saya juga ada kerjasama menjual produk Dmgia," katanya.
Mengulas mengenai kerjaya seni, Amat mengakui, kurang berlakon dan hanya fokus pada perniagaan.
"Dalam masa yang sama, saya juga sedang berusaha mendalami ilmu agama dan mempelajari mengenai Nabi Muhammad SAW," katanya.
Amar mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Arna Salleh pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata. Pada Oktober 2019, bekas isteri kedua, Vivy Jeffry mengejutkan ramai dengan pendedahan berkahwin bersama Amar sejak beberapa tahun.
Minggu lalu, media melaporkan pengesahan lafaz cerai talak tiga yang dibuat Amar pada 4 November 2019 terhadap Vivy Jeffry berakhir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.