BERITA ABPBH

Isu Puteri Balqis, Zarif dalam siasatan polis, Jazmy enggan campur tangan

26 Nov 2026 | Affan Rostam

PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan dua pelakon utama drama Dua Nyawa, Puteri Balqis dan Zarif Ghazzi, tidak menggugat keyakinan Jazmy Juma terhadap sambutan penonton kepada karya yang kini ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI itu.

Jazmy, 28, sebaliknya percaya penerimaan penonton terhadap drama berkenaan bergantung kepada jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan, meskipun isu membabitkan dua rakan gandingannya itu menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, pelakon itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mahupun mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak kedua-dua pelakon berkenaan memandangkan perkara itu kini dalam siasatan polis.

"Saya tak rasa orang boikot, insya-Allah. Ini ketentuan Ilahi. Dia yang menentukan perjalanan ini dan menjadikan apa yang sudah terjadi sekarang ini.

"Tapi kalau perkara lain, saya tak boleh hendak ulas sebab ia sudah membabitkan pihak polis," katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbitan Viu Original, Wali Dalam Tangisan, di LMP Events Hall, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Jazmy berharap penonton dapat memberikan perhatian kepada mesej dan pengajaran yang disampaikan menerusi setiap naskhah lakonannya, tanpa terlalu terikat dengan kontroversi di luar karya.

"Untuk setiap drama yang saya buat, harapan saya orang dapat intipati sama ada kecil atau besar. Dalam drama itu pun banyak juga pengajarannya," katanya.

Terdahulu, Puteri Balqis meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering berdepan gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.

Pelakon yang mesra disapa Aqish itu turut mendakwa seorang pelakon lelaki sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.

Susulan dakwaan itu, pihak pengurusan Zarif menerusi kenyataan rasmi menafikan pelakon berkenaan melakukan perbuatan seperti yang didakwa, selepas namanya dikaitkan dengan isu terbabit.

Polis sebelum ini mengesahkan sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap Puteri Balqis ketika sesi penggambaran drama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata, pihaknya turut akan merakam keterangan kira-kira 25 lagi saksi yang terdiri daripada kru penggambaran bagi membantu siasatan.