BERITA ABPBH

Isu kronisme bukan serangan peribadi - Ahmad Idham

23 Nov 2026 | Tahir Alhamzah

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegaskan kenyataannya mengenai dakwaan kronisme pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bukan ditujukan kepada pemenang anugerah, sebaliknya membangkitkan persoalan mengenai tadbir urus penganjuran acara berprestij itu.

Ahmad Idham berkata, kebimbangannya tertumpu kepada individu yang memegang jawatan berpengaruh dalam organisasi FFM35, khususnya apabila wujud persepsi hubungan rapat antara mereka yang mempunyai kuasa dengan pihak yang mendapat peluang pekerjaan menerusi acara berkenaan.

Katanya, isu itu perlu diberi perhatian bagi memastikan amalan tadbir urus yang baik dilaksanakan, sekali gus mengelakkan organisasi dan anggota lembaga daripada terpalit dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi BH Online bagi menjelaskan kenyataannya di platform Threads yang mencetuskan reaksi selepas FFM35 berlangsung.

Sebelum ini, Ahmad Idham membalas kenyataan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi di Threads dengan menegaskan beliau tidak mempersoalkan keputusan juri yang memilih pemenang.

Katanya, pemenang dipilih oleh juri berkelayakan dan kenyataannya tidak seharusnya ditafsirkan sebagai serangan terhadap mereka.

"Namun, saya hanya menyuarakan pandangan peribadi bahawa agak pelik apabila individu yang memegang jawatan berkuasa dan mereka yang mendapat pekerjaan (di FFM35) mempunyai hubungan sebagai sahabat rapat.

"Sebagai seseorang yang pernah berada dalam industri ini, saya menyuarakan pandangan demi kebaikan industri secara keseluruhan. Ia bukan serangan peribadi terhadap sesiapa," katanya.

Ahmad Idham berkata, situasi yang dilihatnya pada malam acara itu menimbulkan persoalan apabila peluang pekerjaan seolah-olah diberikan kepada rakan atau dalam kalangan anggota lembaga sendiri.

Katanya, perkara itu serius dan sensitif kerana boleh menimbulkan persepsi bahawa projek di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi ruang untuk kelompok tertentu mendapatkan pekerjaan.

"Janganlah sampai perkara ini terlalu jelas sehingga semua orang dapat melihat dan membuat kesimpulan bahawa projek FINAS menjadi pusat sehenti untuk rakan serta kenalan mendapatkan pekerjaan.

"Buka tender kepada pihak lain," katanya.

Kenyataan awal Ahmad Idham di Threads mencetuskan pelbagai reaksi apabila beliau menulis: "Ramai yang bertanya kepada saya untuk mengulas FFM. Saya hanya ada satu perkataan: kronisme."