Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Selepas menjadi pelakon, pengacara dan penyampai radio, Issey Fazlisham, mencabar diri di kerusi pengarah pula.
Issey, 35, atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin sudah lama berhasrat bergelar pengarah dan bersyukur diberi peluang mengemudi telefilem pertamanya, Nawfal Nak Raya.
"Nawfal Nak Raya ini adalah naskhah pertama arahan saya. Kenapa saya hendak mengarah? Saya sudah lama simpan hasrat mengarah.
"Jadi apabila 'pitching' untuk projek telefilem ini lulus, saya terpanggil belajar mengarah," katanya kepada BH Online.
Berkongsi cerita yang diangkat dalam telefilem itu, Issey berkata, Nawfal Nak Raya membawa kisah kehidupan di Jalan Chow Kit dan Kampung Baru di ibu negara.
"Kenapa saya cakap dekat dengan saya kerana arwah ayah apabila datang ke Kuala Lumpur, dia suka duduk hotel di Chow Kit.
"Di Chow Kit, ramai kawan-kawannya dari Kelantan. Jadi, saya sudah biasa dengan struktur geografi Chow Kit dari kecil lagi.
"Saya pernah berniaga di Chow Kit pada 2017 dan berkenalan dengan ramai kawan-kawan di sini," katanya.
Issey berkata, Chow Kit sinonim dengan perantau seperti dirinya yang berkelana ke ibu kota mencari rezeki.
"Nawfal Nak Raya berkisar anak-anak marhain di ibu kota yang bersemangat sambut raya. Berbeza dengan sambutan tahun sebelumnya, kali ini, Nawfal ada motivasi hendak beraya dengan meriah," katanya yang sudah selesai kerja penggambaran buah tangan sulungnya itu.
Issey menjadikan pelakon dan pengarah berpengalaman, Sabri Yunus sebagai inspirasi.
"Saya berterima kasih kepada abang Sabri kerana tunjuk ajarnya. Bagaimanapun, saya tidaklah belajar secara rasmi dengan beliau, sebaliknya saya banyak tengok cara abang Sabri bekerja.
"Saya suka lepak dan duduk dekat 'monitor' bersama pengarah. Jadi, secara tidak langsung, kita akan dapat ilmu untuk dipraktikkan," katanya.