Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

InTeam komited bantu pelarian Syria

23 Nov 2021 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Dengan paras suhu mencecah negatif lima darjah selsius dan khemah penempatan berdepan risiko banjir, kumpulan nasyid popular, InTeam tidak lelap mata memikirkan nasib pelarian Syria.

Ketika seluruh dunia masih 'berperang' melawan pandemik COVID-19, anggota InTeam aktif menyertai misi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) yang menggerakkan siri ke-10 kempen musim sejuk Syria 2021/2022.

Kempen itu adalah salah satu usaha Peduli Insan membantu pelarian Syria di wilayah bergolak dalam mengharungi musim sejuk yang boleh menggugat nyawa.

Mewakili teman-teman InTeam, Hazamin atau nama penuh, Muhammad Hazamin Harun berkata, sejak April hingga September lalu, mereka berjaya mengumpul bantuan bernilai RM370,000.

"Kutipan itu sudah disalurkan ke Syria dan kem pelarian di Lubnan. Kempen lima bulan itu dianjurkan sempena Ramadan dan Aidilfitri lalu.

"Kempen sama diteruskan untuk siri seterusnya sejak Oktober lalu hingga Februari depan.

Anggota InTeam dari kiri Abdul Rahim, Hazamin dan Mohd Syahril aktif dengan kerja amal dan misi kemanusiaan bersama Peduli Insan. Foto Ihsan InTeam
Anggota InTeam dari kiri Abdul Rahim, Hazamin dan Mohd Syahril aktif dengan kerja amal dan misi kemanusiaan bersama Peduli Insan. Foto Ihsan InTeam

"Kali ini penyertaan kumpulan InTeam membabitkan semua anggota. Kali pertama, saya bersendirian mewakili Inteam berangkat Syria, awal tahun ini dalam mengagihkan bantuan," katanya kepada BH Online.

Hazamin berkata, banyak kutipan diperoleh daripada perkongsian dalam media sosial seperti Instagram (IG) dan Facebook (FB).

"Kesedaran mengenai kempen dibuat melalui foto seperti poster, video tular dan sesi siaran langsung.

"Insya-Allah, jika tiada aral, sebahagian anggota Inteam akan 'terbang' ke Syria, awal tahun depan. Namun, semuanya masih dalam perancangan," katanya.

Ditanya mengenai keprihatinan dan sikap pemurah rakyat Malaysia, Hazamin mengaku tersentuh dengan kemuliaan hati penderma.

"Bukan kita sahaja mengaku betapa orang Malaysia cukup tebal dengan sikap pemurah, warga pelarian Syria dan Lubnan juga tersentuh.

"Mereka cukup menantikan kehadiran pertubuhan atau kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia. Bantuan kemanusiaan dari Malaysia disifatkan istimewa dengan kuantiti barangan tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peduli Insan, Mohd Luqmanulhakim Mohd Rezuan, berkata kempen kendalian badan itu tahun lalu membantu kira-kira 60,000 keluarga pelarian Syria.

Kali ini, Peduli Insan menyasarkan penyaluran bantuan pakaian, barangan keperluan seperti alat pemanas dan bahan bakar serta bakul makanan untuk kira-kira 250,000 pelarian Syria.

Mohd Luqmanulhakim berkata, pihaknya berharap kerjasama dengan InTeam dipermudahkan agar lebih ramai pelarian Syria dapat dibantu.

"Jika banjir berlaku, khemah, barangan keperluan seperti makanan, pakaian, selimut dan sebagainya musnah.

"Selain itu, pelarian berdepan penularan penyakit berbahaya COVID-19 dan sukar mendapatkan makanan serta rawatan kesihatan secukupnya.

"Jadi, mereka berdepan ancaman nyawa terutama kanak-kanak, wanita dan warga emas," katanya.

Memperhalusi jenis kempen digerakkan, Mohd Luqmanulhakim berkata, dua inisiatif diperkenalkan iaitu Selimut Kasih Syria dan Suapan Kasih Syria.

Inisiatif Selimut Kasih Syria menyediakan bantuan pakaian, bahan bakar, alat pemanas dan selimut kepada pelarian Syria menghadapi musim sejuk dengan lebih selesa dan selamat.

Inisiatif Suapan Kasih Syria pula tertumpu kepada agihan bakul makanan berupa barangan asas, makanan panas dan pelaksanaan sembelihan untuk ibadat aqiqah, nazar dan sedekah.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif Peduli Insan membantu pelarian Syria boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.peduliinsan.org.