BERITA ABPBH

Industri muzik Malaysia rekod pendapatan RM428.3 juta 2025

27 Jan 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan pendapatan industri muzik Malaysia bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 meningkat memberangsangkan kepada RM428.3 juta, berbanding RM352.4 juta tahun sebelumnya, menurut data Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Peningkatan 17.7 peratus tahun ke tahun itu menandakan paras pendapatan tertinggi pernah dicapai industri muzik tempatan.

Pendapatan utama datang daripada perkhidmatan penstriman muzik digital, diikuti kutipan oleh Pertubuhan Pengurusan Kolektif (CMO), mencerminkan pelaburan berterusan syarikat rakaman dan penggunaan muzik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia merentas pelbagai genre dan bahasa.

Sepanjang 2025, beberapa artis Malaysia mencatatkan kejayaan cemerlang di peringkat serantau melalui kerjasama bersama rakan artis dari negara jiran.

Ernie Zakri antara artis Malaysia yang melonjak di peringkat serantau tahun lalu. Foto NSTP/Aswadi Alias
Ernie Zakri antara artis Malaysia yang melonjak di peringkat serantau tahun lalu. Foto NSTP/Aswadi Alias

Penyanyi popular tanah air, Ernie Zakri, mencipta kejayaan besar menerusi lagu Masing-Masing, hasil kolaborasi bersama penulis lagu dan pemain gitar Indonesia, Ade Govinda.

Kumpulan Dolla pula bergandingan dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, menerusi lagu Bad Girls Like You, yang menerima sambutan hangat di peringkat serantau.

Selain itu, beberapa kolaborasi lain turut mencuri perhatian, termasuk duet Aina Abdul dan Insomniacks bersama artis Indonesia masing-masing, Fabio Asher dan Nabila Taqiyyah.

Penyanyi Malaysia, JessC (Jessie Chung), turut mencatat pencapaian di peringkat antarabangsa apabila memenangi anugerah Best Asian Pop di InterContinental Music Awards (CMA) 2025 di Los Angeles menerusi lagu Mandarin My Style, menandakan satu kejayaan penting bagi artis Malaysia di pentas global.

Pada masa sama, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain dendangan Ara Johari muncul sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Distrim, manakala kumpulan Insomniacks muncul sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata sokongan pembiayaan daripada Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Digital (DKD) memberi dorongan besar kepada pembangunan industri.

"Ramai artis, termasuk Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Hazama yang juga penerima dana berkenaan, telah menghasilkan rakaman berkualiti tinggi sehingga mendominasi senarai lima pencalonan akhir Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), baru-baru ini."

"Sebanyak RM700,000 dana DKD disalurkan kepada pemenang AIM24 dalam 11 kategori utama, membolehkan pemegang hak menghasilkan kandungan muzik berkualiti tinggi yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Selain itu, RIM bersama Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap pelanggaran hak cipta membabitkan premis hiburan, penjual di platform e-dagang dan laman web haram.

"Tindakan yang konsistem ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan industri," katanya.

Dalam pada itu, Rosmin turut menekankan perlunya perlindungan undang-undang terhadap muzik berhak cipta dalam era Kecerddasan Buatan (AI), termasuk keperluan kebenaran pemegang hak untuk latihan model AI, pelabelan kandungan muzik dijana AI, dan ketidaklayakan muzik dijana sepenuhnya oleh AI untuk menerima hak cipta dan pengewangan.

Selain itu, RIM menyarankan pindaan undang-undang bagi memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dan karya muzik daripada 50 tahun kepada 70 tahun, selaras piawaian antarabangsa.

Carta RIM terus menjadi penanda aras prestasi lagu di Malaysia, manakala Program Pensijilan Jualan mengiktiraf pencapaian komersial artis berdasarkan data jualan digital dan penstriman.

Melangkah ke hadapan, RIM kekal optimistik terhadap masa depan Malaysia.

"Dengan jangkaan peningkatan penggunaan muzik menerusi pelbagai perkhidmatan penstriman, kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh berhubung penggunaan muzik berhak cipta dalam latihan pelbagai model kecerdasan buatan (AI) meletakkan industri pada kedudukan yang baik untuk terus memperkukuh sumbangannya kepada ekonomi Malaysia serta memperluaskan jejak di peringkat antarabangsa," kata Rosmin.