BERITA ABPBH

Indonesia mahu dangdut jadi warisan budaya

[email protected]

JAKARTA : Kementerian Pariwisata Ekonomi dan Kreatif Indonesia sedang berusaha menjadikan dangdut sebagai Warisan Budaya Takbenda (peninggalan) daripada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menterinya, Sandiaga Uno, berkata dangdut sudah menjadi identiti budaya Indonesia dan tidak mahu negara lain mengiktiraf irama itu sebagai milik mereka.

"Muzik dangdut menjadi kebanggaan bangsa dan identiti budaya. Kami ingin segera mencadangkan irama dangdut tercatat (warisan budaya) supaya ini tidak dituntut negara lain," katanya, lapor detik.com yang dipetik CNN Indonesia.

Sandiaga berkata, pihaknya sedang menyiapkan dokumentasi dan bekerjasama dengan kementerian dan lembaga lain bagi memohon dangdut menjadi warisan budaya.

Sandiaga menambah, ramai rakyat Indonesia bergantung hidup kepada sektor dangdut.

Sehubungan iu, situasi itu menjadi pendorong kepada kementerian untuk mengusahakan dangdut sebagai warisan budaya Indonesia.

Perkara itu dibangkitkan pada pertemuan dengan bintang dangdut legenda Indonesia , Rhoma Irama di Soneta Record, Sukma Jaya, Depok.

"Kami mendapat maklumat daripada Rhoma Irama bahawa puluhan juta orang Indonesia bergantung hidup mereka kepada sektor muzik khususnya genre dangdut," katanya.

Pada 2010, UNESCO dilaporkan mengiktiraf beberapa alat muzik tradisional Indonesia sebagai warisan budaya seperti angklung.

Selain angklung, gamelan ditetapkan sebagai Warisan Budaya Takbenda (Intangible Cultural Heritage) UNESCO.

Khabar itu diumumkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menerusi akaun media sosial pada Disember, tahun lalu.

"Khabar baik ini hari ini datang dari pejabat pusat UNESCO di Paris. PBB menetapkan gamelan sebagai Warisan Budaya Takbenda UNESCO," katanya.

Jokowi berkata, gamelan sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat berbagai daerah di Indonesia.

Gamelan juga memberi inspirasi dan pengaruh terhadap muzik dunia.

Secara keseluruhan, gamelan menjadi budaya Indonesia ke-12 yang diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Takbenda Indonesia UNESCO, lapor agensi.

Selain gamelan, turut diisytihar Warisan Budaya Takbenda Indonesia adalah wayang, keris, batik, pendidikan, batik dan angklung.

Budaya lain adalah tari saman, noken, tiga genre tari tradisional di Bali, seni pembuatan kapal pinisi iaitu sejenis perahu tradisional, tradisi pencak silat, dan pantun. - AGENSI