Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Iklan istimewa serlah keunikan jenama TV3

23 Jun 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Membesar dengan menonton TV3 sambil mencipta kenangan indah bersama saluran televisyen (TV) swasta pertama negara ini, memberi inspirasi kepada pelukis seni kreatif, Miriam Omar, berkarya.

Emosi itulah yang dikongsi Miriam dalam menghasilkan lukisan yang terpilih melatari iklan istimewa TV3 sempena ulang tahun kelahiran stesen TV itu pada 1 Jun lalu.

Bukan sahaja ditayangkan di TV, malah hasil karyanya menghiasi papan tanda gergasi di beberapa jalan raya utama.

Berkongsi perasaan terpilih menjalin kolaborasi dengan TV3, Miriam berkata, tawaran itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana pernah melakar momen manis bersama TV3.

"Ketika berusia sembilan tahun, saya pernah mengacarakan sebuah program kanak-kanak disiarkan TV3 pada 1997. Justeru, apabila ditawarkan menghasilkan karya seni untuk dijadikan iklan stesen TV yang mana saya membesar bersamanya, sudah tentu teruja.

"Ketika diundang, TV3 mahu saya hasilkan lukisan yang membawa mesej bagaimana stesen TV ini memberi pengaruh yang cukup besar dalam industri penyiaran negara dan penonton.

"Justeru, untuk karya seni ini, saya lakar imej berbentuk program yang cukup sinonim dengan stesen itu seperti Malaysia Hari Ini (MHI), Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Buletin Utama (BU) yang kita tahu masih relevan dalam kalangan penonton.

"Malah, lakaran berkonsepkan ceria, segar dan warna-warni jelas menterjemah identiti stesen penyiaran itu," katanya pada sidang media virtual di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Turut serta, pengarah projek iklan berkenaan, Nik Amir Mustapha yang pernah menghasilkan filem Terbaik Dari Langit.

Kali pertama menyaksikan iklan yang memaparkan karya seninya, Miriam yang mengusahakan perniagaan sendiri mengakui karya sentuhan Nik Amir ada persamaan dalam hidupnya.

"Kali pertama menonton iklan itu, saya dapat rasa ada persamaan dengan kisah hidup saya.

"Babak anak dan ibu menonton program TV3 bersama dan adegan pelakon kanak-kanak melukis dalam bilik seperti yang dipaparkan, sama seperti yang saya lalu ketika kecil.

"Walaupun tidak sepenuhnya, secara tidak langsung, iklan itu cukup dekat dengan diri saya, terutama babak bersama keluarga dan melukis dalam bilik," katanya.

Temu bual bersama Nik Amir dan Miriam secara maya di Sri Pentas. - NSTP/Asyraf Hamzah
Temu bual bersama Nik Amir dan Miriam secara maya di Sri Pentas. - NSTP/Asyraf Hamzah

Sementara itu, Nik Amir berkata, tanggungjawab menghasilkan iklan berdurasi 90 saat itu cukup besar dan iklan jenama itu perlu selari dengan slogan Sentiasa Bersamamu yang menjadi pilihan pada sambutan ulang tahun TV3, tahun ini.

"TV3 beritahu mengenai karya seni Miriam yang mahu diselitkan. Dari situ, saya cuba jalin kisah Miriam dengan peranan yang dimainkan TV3 sejak 38 tahun lalu.

"Saya cuba kait kisah keluarga yang menonton TV3 bersama-sama. Keluarga adalah sistem sokongan yang paling besar dalam kehidupan seseorang.

"Segala-galanya umpama rakaman memori pelakon yang bukan sahaja membesar bersama keluarga, malah bersama stesen penyiaran itu," katanya.

Mengulas cabaran dihadapi dalam kerja pembikinan, Nik Amir berkata, proses pemilihan pelakon dibuat berhati-hati.

"Soal pemilihan pelakon memang agak sukar. Pelakon yang kita tampilkan perlu melalui banyak peringkat usia dan bukan fokus ke pada kisah Miriam sahaja.

"Untuk watak utama, kita pilih Shakila Khoriri. Alhamdulillah, proses penggambaran lancar," katanya.

Tambah Amir, mesej lain yang cuba dipaparkan adalah TV3 tidak mengaku kalah biarpun terpaksa bersaing dengan perkembangan teknologi.

"Kalau lihat iklan itu, kita paparkan babak ibu dan anak menonton program sama. Cuma, caranya berbeza kerana ibu menonton TV, manakala si anak mengikutinya melalui telefon pintar," katanya.

Iklan istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-38 TV3 mula disiarkan, Jumaat lalu.