Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35
Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang
telah dipertandingkan pada tahun ini
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Ku Faridah Ku Shafie, 70, menempelak segelintir pelakon baharu yang melayan artis veteran seperti tiada harga diri.
"Tidaklah minta disanjung, tetapi sekurang-kurangnya hormat sikit golongan warga emas seperti saya.
"Namun, saya tidak maksudkan semua, hanya segelintir tiada adab. Jangankan nak bersalam, bertegur sapa pun tidak dengan pelakon lain.
"Sebaliknya, suka buat hal sendiri dan melepak dalam kereta sementara menunggu giliran," katanya kepada BH Online.
Pelakon filem Gila-Gila Pengantin dan KL Gangster itu berkata, tidak bermakna dipilih bawa watak utama boleh bersikap besar kepala hanya sebab mempunyai jumlah pengikut berjuta dalam media sosial.
"Ada masanya, pelakon veteran pula mengambil inisiatif menegur mereka.
"Jujurnya, macam tiada harga diri pula dilayan seperti ini. Keadaan ini berbeza dengan layanan diterima pelakon senior di Hollywood.
"Semakin berusia, semakin disanjung," katanya yang turut membintangi drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku 3.
Ku Faridah berkata, sekiranya sikap angkuh ditunjukkan pelakon baharu seiring dengan bakat mungkin tidak akan dipersoalkan.
Namun, katanya, ada juga tidak mampu memberikan hasil lakonan baik, setaraf dengan upah tinggi diterima.
"Situasi ini amat mengecewakan. Sepatutnya perlu ada kerjasama apabila bekerja dalam satu pasukan.
"Namun, sikap sesetengah pelakon baharu lebih suka menghabiskan masa dalam kereta dan tidak mahu berbincang dengan pelakon lain mengenai skrip menimbulkan masalah.
"Ada pula tidak buat 'homework' atau hafal skrip terlebih dahulu sebelum memasuki lokasi," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Skim Rumahku Syurgaku, baru-baru ini.
Ku Faridah berkata, ada antaranya terkejut apabila perlu melakukan babak sedih dan menangis disebabkan tidak membaca skrip.
"Saya pernah tertinggi suara kepada seorang pelakon baharu akibat terlalu geram. Ini kerana tidak hafal dialog, sedangkan bukanlah dialog panjang.
"Untuk dialog pendek pun terpaksa dilakukan sehingga enam ke tujuh kali. Jadi, siapa tidak geram?
"Lebih lagi, jam sudah menunjukkan 4 pagi. Jika 4 petang mungkin saya masih boleh mengawal perasaan.
"Namun, peliknya pengarah hanya diamkan diri tanpa menegur disebabkan bintang utama dan popular," katanya.
Bukan itu sahaja, kata Ku Faridah, ada yang tidak faham jalan cerita naskhah yang dijayakan sehingga pelakon lain terpaksa mengajar di lokasi penggambaran.
"Pelbagai kerenah pelakon baharu yang saya hadapi. Apa yang saya luahkan bukan sebab cemburu dengan populariti yang diraih pelakon baharu.
"Saya hanya mahu memberikan nasihat supaya menghargai peluang terutama pelakon baharu yang diberi kepercayaan membawakan watak utama," katanya.
Mengulas watak antagonis sering dibawakan, Ku Faridah berkata, dia tidak hanya menerima watak hitam, sebaliknya turut menerima tawaran watak lain.
Namun, katanya, impak watak antagonis dalam drama Jangan Menangis Cinta lebih meninggalkan kesan sehingga pernah menerima pelbagai ugutan netizen.
"Ada netizen mahu letup dan menikam saya, malah, menjeling pun ada.
"Sebagai orang tua, saya merasakan ugutan netizen walaupun main-main agak keterlaluan.
"Saya tak bimbang keselamatan, namun, komen yang diberikan melampau.
"Namun, lucunya ada pula netizen sibuk hendak selfie apabila terserempak," katanya.