KUALA LUMPUR: Pelakon Hisyam Hamid mengakui berdepan penurunan berat badan hampir 10 kilogram (kg) ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaharu, Black Ops.
Hisyam, 41, berkata, faktor penggambaran yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan selain jadual kerja padat menjadi antara punca utama perubahan fizikalnya.
"Saya hilang berat hampir 10kg. Sasaran asal sekitar 82kg atau 83kg, tetapi sekarang berat saya 78kg. Mungkin terlebih turun kerana saya berpuasa dan kerap menjalani penggambaran pada waktu malam.
"Walaupun bukan 12 jam penggambaran, keletihan yang dirasai memang berbeza. Selera makan juga agak berkurangan," katanya ketika ditemui di set penggambaran filem Black Ops di Jalan Kuchai Lama, di sini, semalam.
Pelakon kelahiran Singapura itu berkata, peluang membintangi filem aksi berkenaan amat bermakna buat dirinya kerana ia merupakan pengalaman pertama sepanjang pembabitannya dalam industri seni.
"Ini kali pertama saya terbabit dalam filem aksi sepenuhnya. Sejak dulu lagi saya memang teringin untuk berlakon dalam filem aksi.
"Sebaik menerima tawaran, saya terus mendapatkan jurulatih peribadi dan memulakan latihan dua hari kemudian.
"Saya perlu membuat persiapan rapi kerana bergandingan dengan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad dan Andy Teh. Jadi, saya perlu capai tahap yang sama," katanya.
Berkongsi lanjut, Hisyam berkata, dia turut berdepan beberapa insiden kecederaan ketika menjayakan babak aksi.
"Ada kecederaan di bahagian belakang buku lali ketika melakukan salah satu aksi. Ia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih sepenuhnya.
"Saya menjalani rawatan laser dan ultrasound. Selain itu, rambut saya pernah terbakar dan saya juga pernah terhentak meja.
"Namun, itulah cabaran dalam filem aksi dan saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan," katanya.
Filem Black Ops yang juga naskhah rentas negara arahan Syafiq Yusof dan pengarah Hong Kong, Chui Tze dijangka menemui penonton di pawagam tahun depan.
Selain Hisyam, barisan pelakon lain termasuk Aaron Aziz, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, MK K-Clique dan ramai lagi.
Filem terbitan Skop Productions bersama beberapa syarikat produksi lain itu mengisahkan pasukan elit rahsia kerajaan yang ditubuhkan bagi menumpaskan kartel dadah antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.