BERITA ABPBH

Hina saya tidak mengapa tetapi jangan sentuh Janna – Dini Schatzmann

26 Nov 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

PUTRAJAYA: Pelakon, Dini Azan Schatzmann mengakui lebih terkesan apabila isterinya, Janna Nick, menjadi sasaran kecaman dan komen berbaur penghinaan fizikal atau body shaming di media sosial berbanding dirinya sendiri.

Dini berkata, meskipun dirinya seorang yang tenang dan tidak mudah mengambil hati terhadap kritikan orang ramai, keadaan itu berbeza apabila membabitkan Janna.

Malah, dia mengakui lebih terasa apabila isterinya menjadi sasaran komen negatif berbanding dirinya sendiri.

"Saya seorang yang susah nak terasa hati kerana saya seorang yang sangat tenang.

"Tetapi saya juga manusia biasa. Jadi, apabila ada komen-komen yang menyentuh fizikal Janna, saya yang terlebih terkesan.

"Bagilah orang cakap apa sahaja pasal saya, saya okey sahaja. Tetapi apabila orang cakap pasal Janna, saya akan lebih terasa untuk dia," katanya ditemui pada majlis pengumuman Janna sebagai duta rasmi 3Days x Turun KG musim kedua, di sini, baru-baru ini.

Mengulas tindakannya yang lebih banyak berdiam diri berbanding membalas kecaman terhadap isteri, Dini berkata, dia tidak melihat sebarang manfaat untuk berinteraksi dengan individu yang gemar meninggalkan komen negatif.

Sebaliknya, dia memilih untuk tidak membazirkan masa dan tenaga melayan kecaman kerana percaya tindakannya itu tidak akan menghentikan perbuatan berkenaan.

"Bagi saya, tidak guna pun untuk tegur mereka kerana jika kita tegur lima orang, akan ada lagi 50 orang yang akan buat perkara sama.

"Jadi, buat apa nak bazirkan tenaga dan masa untuk satu atau dua komen negatif.

"Lagipun, mereka tiada kaitan dengan kehidupan kami dan tidak tahu apa yang Janna serta saya sedang lalui. Jadi, bagi saya, komen mereka tidak penting, terutama jika membabitkan body shaming dan komen-komen yang sangat negatif," katanya.

Bagaimanapun, Dini tidak menafikan Janna turut terkesan dengan kecaman sedemikian, terutama ketika melalui hari yang kurang baik atau emosinya lebih sensitif.

Malah, dia memahami komen negatif yang menyentuh penampilan fizikal isterinya boleh mengundang kesedihan, sekali gus menjejaskan emosi Janna.

"Sudah tentu Janna akan melalui perkara itu. Sebagai manusia, apabila orang bercakap perkara negatif mengenai kita, sudah tentu kita akan terasa dan sedih.

"Ada juga ketikanya kita lebih sensitif, terutama sewaktu sedang melalui hari yang buruk. Jadi, apabila ditambah dengan komen sebegitu, sudah tentu dia sedih.

"Saya cuba untuk sentiasa mengingatkan dia mengenai gambaran lebih besar. Kadang-kadang kita terlalu fokus kepada satu komen.

"Jadi, saya sentiasa ingatkan Janna supaya melihat keseluruhan kehidupan kami dan apa yang sedang cuba kami capai sekarang," katanya.

Dini berkata, dia akan terus menjadi sistem sokongan buat Janna dengan mengingatkan isterinya bahawa individu yang meninggalkan komen berkenaan tidak mengetahui keseluruhan perjalanan hidup mereka.

Dalam pada itu, Dini menegaskan tidak pernah memberi tekanan kepada Janna untuk menurunkan berat badan kerana memahami keadaan isterinya yang sedang berikhtiar mendapatkan zuriat.

Katanya, dia mengetahui keadaan Janna termasuk nasihat doktor serta keperluan perubatan yang perlu dilalui isterinya sepanjang usaha mendapatkan cahaya mata.

"Saya tidak pernah menekan dia untuk kuruskan badan. Seperti Janna cakap, saya orang yang tahu apa yang dia sedang lalui dan lakukan sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat.

"Saya tahu keadaannya dan tidak logik untuk dia menjadi terlalu kurus sekarang. Ini bukan masanya untuk dia berbuat demikian. Selagi dia gembira, sihat dan kami menuju ke arah itu, sudah memadai," katanya.

Mengulas gelaran green forest husband yang diberikan warganet kepadanya, Dini berkata, dia tidak mahu terlalu terikat dengan pujian mahupun kritikan orang ramai.

Sebaliknya, dia menganggap dirinya masih mempunyai kekurangan dan tidak melihat pandangan pengguna media sosial sebagai gambaran sebenar keperibadiannya.

"Saya bukan manusia sempurna. Jadi, buat apa saya nak rasa bangga apabila orang menggelarkan saya green forest atau suami nombor satu.

"Saya cuba untuk tidak terlalu terikat dengan komen orang, sama ada positif atau negatif kerana mereka tidak tahu keseluruhan cerita.

"Saya lebih mahu memberi tumpuan kepada rumah tangga dan memastikan boleh menjadi versi terbaik untuk isteri. Bagi saya, itu paling penting," katanya.