Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

'Hidup kosong tanpa arwah Siti Sarah'

02 May 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Betapa sukar menerima hakikat erti kehilangan, apatah lagi, pemergian insan tersayang yang menjadi penghuni hidup selama 37 tahun.

Itulah yang dirasakan penyanyi dan pelakon era 1980-an, Raissuddin Hamzah, 62, selepas sembilan bulan pemergian anak tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19 pada 9 Ogos, tahun lalu.

Ramadan dan Syawal tahun ini memberikan terjemahan berbeza buat Raissuddin, apatah lagi, kali pertama meraikannya tanpa anak kesayangan itu.

Tanpa berselindung, Raissuddin berkata, hidupnya terasa kosong dan sepi sejak pemergian arwah.

Dalam keredaan selepas hampir sembilan bulan menerima hakikat arwah sudah tiada dalam dunia fana ini, Raissuddin amat merindui keletah penyanyi lagu Kesetiaan dan Semakin itu.

"Hakikatnya, bukan mudah menerima hakikat kehilangan. Namun, saya perlu berlapang dada menerima qada dan qadar, apatah lagi, arwah dijemput mengadap Allah dalam penuh kemuliaan.

"Jika hari biasa saya rasakan dunia seakan sepi, apatah lagi, menyambut Syawal. Tahun ini, Ramadan dan Syawal pertama tanpa arwah selepas 37 tahun menyambutnya bersama.

"Paling rindu momen bermaaf-maafan sesama keluarga. Arwah menjadi penceria suasana dan cukup mengambil berat keperluan keluarga.

"Arwah sebenarnya periang, riuh dan paling kelakar dalam rumah. Sikap dimilikinya itu membuatkan saya terasa seperti 'kosong'," katanya kepada BH Online.

Raissuddin berkata, dia berharap empat cucu dan menantu lebih kuat menempuhi takdir hidup, sekali gus menyambut Syawal dengan berlapang dada.

"Moga momen bahagia setiap kali raya dihidupkan arwah akan kekal seperti sebelum ini," kata Raissuddin.

Mengulas soal sambutan Aidilfitri, kali ini, Raisuddin berkata, ia tentunya dalam suasana yang berbeza.

"Saya banyak memberi fokus kepada cucu. Mereka seronok nak sambut raya, biarpun saya tahu kepiluan hati beraya tanpa seorang ibu.

"Insya-Allah, kami sekeluarga bercadang menziarahi kubur arwah selepas solat Aidilfitri, sebelum ke mana-mana," katanya.

Tahun ini, Raissuddin menyambut Ramadan dan Syawal pertama tanpa arwah Siti Sarah selepas 37 tahun rai bersama.
Tahun ini, Raissuddin menyambut Ramadan dan Syawal pertama tanpa arwah Siti Sarah selepas 37 tahun rai bersama.

Katanya, cucu sulungnya, Uwais Al-Qarni banyak mengingatkannya kepada sifat arwah.

"Uwais sangat iras dengan arwah ibunya. Uwais juga paling rapat dengan saya. Setiap kali memandang Uwais, rasa macam arwah berada depan mata.

"Namun, jika diperincikan, hampir semua cucu sebenarnya memilik sifat arwah. Cucu perempuan, Dzahira Talita Zahra suka bergaya depan cermin. Bahasa tubuh dan lenggokan badannya saling tidak tumpah seperti arwah.

"Cuma Ariq Matin lebih terikut kepada gaya menantu, Shuib Sepahtu. Namun, Matin anak paling manja dengan arwah.

"Ayash Affan pula saya anggap cucu paling istimewa. Kekuatan Ayash bertahan untuk hidup walaupun lahir tidak cukup bulan memberi seribu makna," katanya.

Dalam pada itu, mengulas menantunya, Shuib, Raissuddin berkata, dia dan menantunya melalui kegetiran dan ujian yang sama.

Shuib dilaporkan susut berat badan kerana begitu merindui arwah.

"Saya kehilangan satu-satunya anak perempuan, manakala Shuib pula hidup tanpa arwah isteri.

"Kami merasa sebuah kehilangan bersama. Awalnya, kesihatan Shuib agak merosot hingga saya jadi risau. Berat badannya turun secara mendadak.

"Saya dan Shuib banyak berbual. Jika ada masalah, kami akan cuba berkongsi," katanya.

Raissuddin berkata, dia sepakat beraya di kediaman arwah di Puchong terlebih dahulu.

"Selepas itu, kami akan pulang ke kampung Shuib di Perak. Kemudiannya, kami sambung beraya di kampung datuk isteri saya di Kedah," katanya.