Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pelakon drama Hati Yang Tersakiti, Nad Zainal mempertahankan karya arahan Feroz Kadir itu bukan saduran drama sensasi Korea, The World Of The Married (TWOTM).
Nad yang memegang watak Ramona Tahir dalam drama itu memberitahu, jalan cerita dan perkembangan watak dalam drama terbitan produksi Art Ornament Sdn Bhd itu berbeza.
"Mungkin persamaan daripada segi tema dan konflik rumah tangga. Namun, jalan cerita dan perkembangan watak berbeza sepenuhnya.
"Ada kemungkinan drama ini berkisar tiga watak utama lakonan saya, Remy Ishak dan Mimi Lana. Jadi ada yang pantas menganggap Hati Yang Tersakiti seperti drama TWOTM.
"Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Sebaiknya, tontonlah sehingga episod ke-15 untuk menilai dan membuat kesimpulan," katanya kepada BH Online.
Drama Hati Yang Tersakiti mula disiarkan melalui slot Samarinda di TV3 sejak Khamis lalu. Drama ini menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam.
Sebelum ini, dihebahkan bahawa drama ini adalah idea asal dan bukan diadaptasi atau 'remake' daripada mana-mana drama lain.
Bercerita mengenai watak dibawa dalam drama itu, Nad yang pernah meraih trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 memberitahu, Ramona adalah wanita 'lurus' yang hidup bahagia bersama suami, Haris lakonan Remy.
"Namun, Ramona kecewa tidak mampu memberi zuriat kepada Haris. Dia ada teman baik iaitu Farah lakonan Mimi Lana.
"Hendak dijadikan cerita, Farah sedang menunggu proses perceraian dengan suami dan Romana benarkan dia tinggal bersama.
"Tanpa diduga, berlakulah perkara yang tidak diduga... Kena tengok sampai habis drama ini," katanya.
Nad atau nama penuh, Farah Nadia Zainal Abidin menyifatkan gandingannya bersama Remy dan Mimi cukup segar.
"Semua pelakon memberi idea dan menggalas tanggungjawab dengan baik. Saya dan Remy sudah empat kali bekerjasama dan masing-masing faham cara bekerja," katanya.