PUTRAJAYA: Pelakon, Hannah Delisha menafikan dakwaan rumah tangganya bersama suami, Imam Shah, sedang bergolak seperti yang diperkatakan netizen di media sosial.
Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 30, berkata spekulasi itu tercetus susulan nama 'Miss Hanna' yang tertera pada kad alu-aluan hotel yang ditempah suaminya sempena sambutan Tahun Baharu, sekali gus mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen.
"Sebenarnya, suami yang membuat tempahan bilik hotel itu sebagai kejutan untuk kami menyambut Tahun Baharu bersama. Dia buat tempahan atas nama saya.
"Mungkin pihak hotel tidak tahu nama sebenar saya kerana dalam sistem bukan nama Hannah Delisha. Jadi, sebab itu mereka tulis 'Miss Hanna'. Itu sahaja sebenarnya," katanya.
Menurut Hannah, dia terkejut apabila perkara kecil itu dijadikan isu, namun memilih untuk tidak melayan spekulasi berkenaan.
"Saya terkejut juga bila perkara seperti ini pun boleh jadi isu, tetapi saya faham kenapa ada netizen yang beranggapan begitu.
"Saya rasa tak perlu untuk jelaskan satu persatu. Kalau mereka mahu percaya apa yang mereka percaya, saya tidak kisah," katanya ketika ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, semalam.
Pelakon drama Aku Cinta Dia itu turut menjelaskan dia lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadi, khususnya membabitkan rumah tangga, di media sosial.
"Saya rasa pengikut saya sudah lama tahu yang saya tidak suka berkongsi hal peribadi kecuali berkaitan kerja.
"Ada kalanya saya kongsi juga perkara ringan. Kami sambut Tahun Baharu bersama secara sederhana saja, duduk di hotel, berehat, ke gimnasium dan makan," katanya.
Tambah Hannah, dia tidak merasakan keperluan untuk menjelaskan setiap perkara kepada pengikutnya kerana apa yang dikongsikan di Instagram adalah bersifat biasa dan tidak membawa maksud tersembunyi.
"Saya rasa tidak perlu jelaskan kerana ini akaun Instagram saya dan apa yang saya kongsi pun perkara biasa, tidak menunjukkan apa-apa pun," ujarnya.
Terdahulu, perkongsian Hannah mengenai tempahan bilik hotel yang memaparkan nama 'Miss Hanna' mencetuskan spekulasi sehingga ada netizen mendakwa rumah tangganya dilanda masalah.
Untuk rekod, Hannah dan Imam Shah, yang juga pelakon dari Singapura, mendirikan rumah tangga pada Februari 2021.