KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penyampai radio Buletin FM, Haiza Hanafi, 41, mendedahkan berat badannya menyusut akibat satu benjolan pada bahagian kiri payudara bersaiz dua sentimeter pada Jun lalu.
Malah, kebimbangan calon awal kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu menimbulkan serangan panik buat kali kedua dalam dirinya.
"Saya mula fikir bukan-bukan apabila mendapat tahu mengenai benjolan ini. Dalam situasi pandemik, penyakit serangan panik datang secara tiba-tiba.
"Berat badan turun mendadak, selain tiada selera makan. Saya hanya banyak minum air kosong, air manis langsung tidak sentuh.
"Dalam masa sama, saya risau memikirkan nasib diri sama ada kontrak penyampai radio Media Prima Audio disambung atau sebaliknya," katanya kepada BH Online.
Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin berkongsi, dia mengalami serangan panik kali pertama pada 2016.
"Saya tidak tahu apa puncanya. Namun, ada kemungkinan saya penat dan terbeban apabila berulang alik dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru apabila bertugas sebagai penyampai radio Best FM, selain komitmen program realiti, Gegar Vaganza musim kedua," katanya.
Bagaimanapun, isteri kepada Norhanaphe Omar itu memaklumkan, keadaannya sudah kembali sihat, malah benjolan juga sudah lenyap.
"Saya melakukan rawatan di sebuah hospital swasta dengan membuat ujian mamogram dan ultrasound. Doktor juga sudah menerangkan bagaimana benjolan boleh berlaku dan proses rawatan.
"Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya tidak memerlukan rawatan susulan, malah doktor memaklumkan benjolan yang wujud akan hilang dengan sendiri. Saya bersyukur akhirnya benjolan sudah tiada.
"Dalam situasi begini, sokongan suami, ibu bapa, adik beradik dan keluarga menjadi kekuatan. Doa mereka sangat bermakna saat saya diuji," katanya.
Justeru, Haiza berkata, pengalaman sakit dilalui menjadi asbab dan kekuatannya mengendalikan segmen Santai Siang Bersama Haiza menerusi Buletin FM yang mengupas isu kesihatan.
Selain kesihatan, segmen yang diselangi dengan hiburan itu juga merangkumi informasi berkaitan gaya hidup, ibu bapa tips ekonomi, pemerkasaan dan kerohanian.

Haiza mengendalikan segmen berkenaan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 pagi hingga 3 petang.
"Dalam apa juga situasi, kesedaran sangat penting. Jangan membiarkan sakit berlanjutan, baru mahu bertindak.
"Wanita digalakkan bertemu doktor jika ada kemusykilan. Dan paling penting, jangan buat andaian, ia akan mendorong kita berfikir bukan-bukan.
"Setiap Oktober kita meraikan program kesedaran kanser payudara atau Pink October. Mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Dag Dig Dug itu berkata, soal kesihatan jangan ambil mudah dalam usia yang semakin meningkat.
"Soal kesihatan jangan ambil mudah. Jaga makan dan amalkan gaya hidup sihat.
"Berat badan mula naik apabila hati tenang dan kembali berselera. Mulalah nak balas dendam makan apa sahaja.
"Namun, saya tetap seimbangkan pemakanan termasuk fokus kerja," katanya.
Mengulas pencalonan awal menerusi ABPBH 34, penyanyi kelahiran Benut, Pontian itu akur, kategori Penyampai Radio Popular sukar dibolosi.
"Saban tahun, kategori Penyampai Radio Popular dikuasai penyampai radio yang dominan dan otai. Jika berada dalam senarai Top 20 atau Top 5, ia sudah cukup membuktikan 'survivor' dalam dunia penyiaran radio diperhatikan.
"Jika tidak silap, ini sudah kali keempat saya membolosi pencalonan awal kategori ini. Namun, belum ada rezeki mahu genggam trofi, apatah lagi, saya merasakan masih banyak yang perlu saya belajar.
"ABPBH berpaksikan populariti dan undian peminat. Dapat merasai tempias kemenangan rakan penyampai radio lain dikira satu nikmat," kata Haiza yang teguh disokong kelab peminat, Haiza Troopers.
Bertemakan #KITABERSAMA, ABPBH 34 dilancarkan 10 September lalu dengan undian pusingan pertama membabitkan 14 kategori utama dan enam kategori online.
Bagaimanapun, dua kategori online, iaitu Artis TikTok Popular dan Anugerah FANtastik Popular akan dibuka, bulan depan. Layari www.abpbh.com.my untuk mengundi artis pilihan anda.