BERITA ABPBH

Haidar Hasanudin pilih kunci rapat kisah peribadi

26 Nov 2026 | Affan Rostam

PETALING JAYA: Enggan kehidupan peribadi menjadi bahan bualan atau keluarga terheret dalam kontroversi dunia hiburan, pelakon Haidar Hasanudin memilih untuk mengehadkan perkongsian mengenai kehidupannya di luar kerjaya seni.

Haidar, 37, berkata, sejak mengambil keputusan menceburi bidang lakonan, dia sudah menetapkan pendirian untuk tidak mendedahkan hal peribadi, termasuk perkara membabitkan keluarga, kepada umum.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana menyedari kehidupan sebagai anak seni tidak dapat dipisahkan daripada kontroversi dan pelbagai isu yang mungkin timbul sepanjang perjalanan kerjaya.

"Sejujurnya, apabila membuat keputusan untuk berada dalam industri seni, saya memilih untuk memberikan sepenuh komitmen kepada bidang lakonan.

"Saya memang menetapkan pendirian untuk tidak mendedahkan hal peribadi, sama ada membabitkan keluarga atau perkara lain," katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbitan Viu Original, Wali Dalam Tangisan di LMP Events Hall, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Haidar berkata, dia lebih selesa menjadikan media sosial sebagai platform berkongsi perkembangan kerjaya dan karya seni berbanding kehidupan peribadi.

"Saya mahu kerjaya dan media sosial hanya tertumpu kepada projek atau karya yang sedang saya jayakan, bakal ditayangkan atau sedang ditayangkan.

"Bagi hal peribadi, saya tetap berpegang kepada prinsip untuk tidak berkongsi atau mempamerkannya kepada umum, bukan sahaja demi diri sendiri, tetapi juga bagi menghormati perasaan dan kepentingan pihak lain," katanya.

Haidar berkata, antara perkara yang menjadi pertimbangannya ialah keinginan melindungi keluarga yang tidak mempunyai kaitan dengan dunia seni daripada terkena tempias sebarang kontroversi.

Katanya, dia tidak mahu ahli keluarga turut menjadi perhatian atau menerima kesan sekiranya timbul isu membabitkan dirinya pada masa hadapan.

"Apabila kita bercerita mengenai hal peribadi termasuk keluarga sendiri, saya tidak mahu mereka turut terkena tempias sekiranya berlaku sesuatu perkara.

"Dalam industri ini, kita tidak boleh lari daripada kontroversi. Hari ini mungkin semuanya baik-baik sahaja, tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan," katanya.

Sehubungan itu, Haidar berharap semua pihak dapat menghormati pendiriannya untuk terus menjaga batas privasi, terutama apabila membabitkan keluarga.

"Saya memohon semua pihak menghormati keputusan saya untuk terus mengekalkan pendirian itu. Bagi saya, privasi tetap privasi dan itu juga hak saya.

"Sebagai seorang pelakon atau individu yang bekerja di hadapan kamera, saya harap semua pihak dapat menghormatinya kerana saya juga perlu menjaga keluarga masing-masing," katanya.