Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Zainal, 29, mendedahkan kekecewaan putus cinta bersama kawan baik menerusi single keenam berjudul Tak Kira.
Namun, Hafiz yang juga seorang doktor gigi bukan mahu memburukkan bekas teman wanita, sebaliknya, sekadar berkongsi pengalaman dukanya.
Malah, single Tak Kira berentak balada ciptaan Bunga Cantik itu lebih kepada situasi sudah bersedia dengan cinta baharu atau 'move on', sekaligus melenyapkan memori lama.
"Saya akui, menjalin hubungan dengan kawan baik sebelum menyertai program realiti, Big Stage, tahun lalu.
"Namun, hubungan terkandas selepas beberapa bulan selepas menyertai program berkenaan. Hubungan hanya bertahan tidak sampai setahun.
"Jujurnya, saya amat kecewa. Namun, saya kena bangkit dan melupakannya," katanya kepada BH Online.
Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Zainal berkata, dia mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya doktor gigi dengan membuka klinik gigi sendiri.
"Secara kebetulan, aktiviti seni dan hiburan tidak terjejas disebabkan pandemik COVID-19. Jadi, saya ada alasan kukuh kembali ke dunia kedoktoran," katanya.
Hafiz bernaung di bawah syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment milik Stacy dan Akim Ahmad buat kali pertama berjinak dalam dunia penulisan lirik lagu bersama Bunga Cantik dan Hang Nadim.
"Nak dijadikan cerita, saya selalu lepak dengan Akim dan Stacy. Sedikit sebanyak, mereka tahu cerita dan kisah yang saya lalui.
"Disebabkan itu, mereka minta saya tulis lirik supaya 'feel' lebih mendalam. Saya hanya mencuba dan akhirnya berjaya menghasilkan lirik pertama.
"Lirik single ditulis berdasarkan jalan cerita yang ingin disampaikan. Apabila siap, Akim dan Stacy mengemas dan mencantikkan semula penggunaan perkataan serta ayat," katanya.
Sejujurnya, Hafiz berkata, dia teruja dan gementar dengan penerimaan single Tak Kira.
"Lirik menceritakan pengalaman cinta saya bersama kawan baik. Kiranya, kawan baik itu adalah 'crush' saya. Apabila berjumpa semula, cinta kembali berputik.
"Namun, sebenarnya tidak boleh, kami hanya serasi sebagai kawan baik sahaja.
"Menerusi single ini saya kena 'move on'. Harapnya, saya menemui cinta baharu selepas ini," katanya.
Berkongsi mengenai single Tak Kira, Hafiz berkata, karya terbaharunya itu adalah jiwa sebenarnya.
"Sebelum ini, kebanyakan single saya susunan muzik berpaksikan pengaruh muzik band. Namun, untuk single Tak Kira, ia lebih lembut dan berentak balada.
"Muzik karya ini adalah jiwa saya. Saya harap pendengar dapat rasakan apa yang ingin saya sampaikan," katanya.
Dalam masa sama, Hafiz menyifatkan single Tak Kira memberi perasaan baharu untuknya lebih bersemangat dalam mencari cinta.
"Ini masa yang sesuai untuk mencari cinta baharu. Apatah lagi, saya meletakkan diri amat merindui untuk kembali bercinta. Lagi pula, saya sudah berusia 29 tahun.
"Rakan lain semua sudah ada kekasih atau pasangan hidup. Sekarang hati terubat dan bersedia mahu kembali bercinta.
"Buat apa nak terus bersedih, jadi, saya kena bangkit semula. Sebab itu, saya nak kongsi dalam karya ini. Saya mahu penyampaian lebih jujur.
"Andai bekas kekasih mendengar single Tak Kira, dia tidak akan faham dan mengetahui ini kisah cinta kami yang tidak kesampaian.
"Sebab ini bukan karya sedih untuk orang putus cinta, sebaliknya lebih kepada sudah 'move on' dan seperti ada kekasih baharu," katanya.
Single Tak Kira dilancarkan serentak dengan video muzik sejak 15 Oktober lalu menerusi saluran YouTube Rhythm and Rhyme Entertainment.