BERITA ABPBH

Giliran Kaka 'hiasi' New York Times Square

[email protected]

KUALA LUMPUR: Apa yang dilalui selama bergelar anak seni bukanlah perkara mudah, lebih lagi, dalam mengetengahkan karyanya.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 33, berkata, dia pernah rasa sedih apabila karyanya tidak dipandang dan dihargai seperti penyanyi lain, namun itu semua bukan penghalang, sebaliknya jadi pembakar semangat untuk terus berkarya.

"Ada kala rasa sedih sebab karya saya tidak mendapat sambutan. Tetapi, ada masanya merasakan usaha selama ini diiktiraf orang ramai.

"Namun, dalam pahit ada manisnya. Sekarang, saya nampak semua usaha ini sebagai pemangkin semangat untuk saya terus berkarya dan mencipta sesuatu baharu buat peminat.

"Susah payah sebagai anak seni akan sentiasa saya hadapi selagi berada dalam bidang muzik. Saya bersyukur apa yang saya lalui iaitu kepayahan dan kesusahan untuk sampai ke tahap ini," katanya kepada BH Online.

Justeru apabila kini giliran wajah penyanyi kelahiran Klang, Selangor ini menghiasi papan iklan digital gergasi tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS), Kaka akui, sangat berbangga.

Kata Kaka, dipilih menjadi seorang lagi artis wanita tempatan menjayakan kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital, Spotify itu adalah satu perkara sangat membanggakan dirinya.

"Saya seperti bermimpi dapat menjadi sebahagian daripada program EQUAL oleh Spotify. Sudah lama saya idamkan peluang sebegini kerana sering melihat wanita hebat dari Malaysia dipaparkan. Kini, tiba giliran saya pula.

"Semoga pemilihan saya dapat memberi inspirasi kepada wanita muda untuk terus mengejar mimpi kerana kita sebagai wanita mampu menggoncangkan dunia," katanya.

Kaka berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk membanggakan nama Malaysia dan perkara itu sedikit sebanyak memberi cetusan untuknya terus berusaha.

"Jujurnya, kali pertama saya lihat gambar di papan iklan gergasi ini terus terlintas di kepala, saya tidak akan berhenti dan putus asa cipta muzik atau benda baharu.

"Ia juga membuatkan saya rasa usaha selama ini tidak sia-sia. Sebab selalu sangsi dengan diri saya.

"Saya merasakan tidak setanding dengan penyanyi yang ada di Malaysia.

"Dan perkara ini membakar semangat dan membuatkan saya lebih yakin dengan diri saya. Ini juga adalah untuk mereka yang mahu nak mencapai sesuatu, mengambil masa lama, tetapi tak mengapa, anda akan tetap sampai ke destinasi," katanya.

Kaka dipilih menjadi seorang lagi artis wanita tempatan menjayakan kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital, Spotify adalah satu perkara sangat membanggakannya.
Kaka dipilih menjadi seorang lagi artis wanita tempatan menjayakan kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital, Spotify adalah satu perkara sangat membanggakannya.

Kaka yang juga baru melancarkan lagu berjudul Hilang, bulan lalu, menjadi artis kelapan mewakili Malaysia dan Singapura menerusi program EQUAL.

EQUAL adalah program diwujudkan oleh Spotify dalam memartabatkan kesaksamaan wanita dalam peranan muzik.

Industri audio dunia kini berada pada tahap hanya satu dalam lima artis adalah penyanyi wanita.

Justeru, Spotify percaya muzik mampu mencorakkan masa depan, melancarkan hab terbaharu iaitu EQUAL, sebuah ruangan menempatkan ciptaan pengkarya wanita yang dapat didengari pada bila-bila masa.

Spotify percaya usaha ini mampu melahirkan lebih banyak peluang agar lebih ramai wanita dapat turut serta.

Perjalanan Kaka sebagai penyanyi bermula dengan lagu pertama bersama pelawak dan penyanyi popular, Zizan Razak, Bawaku Pergi.

Single keduanya berjudul Bukan Hal Aku juga berjaya melonjakkan namanya sebagai penyanyi.

Dan seterusnya, dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 menerusi lagu Gila bersama penyanyi rap, Noki dan Loca B.

Selain itu, Kaka turut terjun dalam bidang lakonan dengan membintangi filem Aliff Dalam 7 Dimensi, Zharfa, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, Sa Balik Baju dan terbaharu, Saadiah: Bekal Kasih Merdeka.