KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan kira-kira 25 lagi saksi bagi membantu siasatan dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pelakon wanita ketika menjalani penggambaran drama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan enam individu termasuk pelakon wanita terbabit dan pelakon lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, individu lain yang sudah dirakam keterangan ialah tunang pengadu yang juga pembantu peribadinya, seorang pengarah serta dua jurukamera.
"Keterangan kira-kira 25 lagi saksi membabitkan kru produksi akan dirakam secara berperingkat.
"Proses itu akan dilakukan mengikut kelapangan mereka memandangkan kru produksi berkenaan kini sedang terbabit dalam penggambaran produksi lain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 21 November lalu, Harian Metro melaporkan polis membuka kertas siasatan susulan dakwaan gangguan seksual terhadap pelakon, Puteri Balqis, oleh seorang pelakon lelaki ketika menjalani penggambaran drama.
Pelakon berusia 19 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 19 November lalu.
Kejadian yang didakwa berlaku pada Ogos lalu itu dipercayai bermula selepas Puteri Balqis menerima tawaran membintangi drama berkenaan bersama pelakon lelaki terbabit.