Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Kemunculan perkhidmatan platform penstriman Over-The-Top (OTT) dalam industri hiburan mengubah cara individu menikmati filem, muzik, drama dan pelbagai kandungan menarik pada era digital ini.
Pandemik COVID-19 mendorong rakyat seluruh dunia memilih hiburan di hujung jari, apatah lagi, platform OTT bukan sahaja boleh menikmati pelbagai kandungan digital, penggunaan lebih meluas dan diakses di mana sahaja.
Mengambil inisiatif itu, syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd berjaya memeterai perjanjian dengan tiga platform OTT terbesar di China dengan menayangkan filem pertama, Gadis Jolobu The Movie.
Ia membabitkan platform OTT terbesar iaitu Bestv, Youku dan Yongoo.
Selain itu, filem arahan CL Hor yang berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta dengan menampilkan pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan Ahirine Ahirudin bakal ditayangkan di Thailand, Filipina, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi, berkata kejayaan menembusi pasaran China secara tidak langsung dapat mempromosikan filem dan budaya Malaysia ke luar negara.
"Fokus kami ketika menghasilkan filem Gadis Jolobu bukan untuk pasaran Malaysia sahaja. Kami faham dengan industri pawagam yang baru hendak pulih selepas lebih dua tahun terkesan dengan pandemik.
"Jadi, fokus kami untuk menembusi pasaran antarabangsa. Kami memilih platform OTT di China kerana liputannya lebih meluas berbanding pawagam.
"Dalam keadaan pandemik, China mengehadkan rakyat ke pawagam, malah, hanya 40 filem antarabangsa dibenarkan ditayangkan dalam tempoh setahun.
"Langkah terbaik dengan memilih platform OTT kerana ia menjadi trend di seluruh dunia. Selain itu, setiap daerah di China mempunyai saluran televisyen (TV) sendiri.
"Jadi, keputusan menayangkan filem Gadis Jolobu di platform OTT adalah pilihan terbaik," katanya kepada BH Online.
Menerusi perbincangan rangkaian OTT itu, kata Saraleana, pihaknya mendapat maklum balas cukup positif. Pembekal OTT mengagumi keindahan kawasan perkampungan yang ditonjolkan dalam filem Gadis Jolobu.
Sebelum ini, katanya, ada yang menyangka Malaysia hanya dikelilingi bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur.
"Memandangkan China mempunyai banyak kampung, jadi pembekal OTT cukup kagum dengan keindahan kampung, budaya dan tradisi di Malaysia selepas menonton pelan pemasaran filem.
"Tarikan filem Gadis Jolobu lebih kepada sinematografi. Disebabkan itu, kami tidak memaparkan jalan cerita berat, malah, penggunaan dialek Negeri Sembilan dan adat juga terlalu banyak kerana enggan penonton luar keliru.
"Proses memasukkan sari kata juga agak mencabar kerana penggunaan dialek dalam filem," katanya.
Saraleana ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie menerusi platform penyiaran digital tele-virtual OTT di Malaysia, Get Play pada Jumaat lalu.
Filem Gadis Jolobu kini boleh ditonton menerusi platform Get Play bermula 26 Ogos ini.
"Platform Get Play adalah konsep baharu yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seperti membeli tiket di panggung wayang.
"Sebagai inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR), setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan.
"Tawaran istimewa diberikan kepada pengguna platform Get Play antara 26 Ogos hingga 8 September ini," katanya.