Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Floor 88 hadiah peminat konsert patuh SOP

24 Feb 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Selepas Aina Abdul, Khai Bahar dan kumpulan Dolla, tiba giliran band popular, Floor 88 mementaskan konsert sulung patuh prosedur operasi standard (SOP) di Ampang, bulan depan.

Eighty8 Infinity Concert yang bakal diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang pada 27 Mac depan, dianggap hadiah band itu kepada peminat yang selama ini ternanti-nanti kemunculan kumpulan berkenaan pada persembahan istimewa.

Vokalis Floor 88, Ayie Elham berkata, mereka sudah lama merancang mementaskan konsert namun selepas dua tahun pandemik COVID-19 menular, projek itu tergendala.

"Kalau mahu tunggu tunggu COVID-19 habis pun tidak tahu bila. Jadi, kami cuba patuhi prosedur operasi standard (SOP) agar konsert ini lancar dan teratur.

"Konsert itu dijayakan kerana ia dianggap titik permulaan untuk kami anjurkan persembahan yang lebih besar. Kami juga mahu menyatakan penghargaan kepada peminat yang selalu menyokong Floor 88.

"Apa yang istimewa pada konsert ini, kami akan tampilkan lagu Floor 88 dalam susunan berbeza," katanya pada sidang media pengumuman Eighty8 Infinity Concert di Hotel Grand Barakah, Ampang, baru-baru ini.

Seorang lagi anggota Floor 88, Achoi berkata, mereka berusaha mematuhi SOP ketat bagi mengelak jangkitan COVID-19.

"Sebenarnya, kapasiti di lokasi adalah 1,000 orang. Namun, bagi memastikan adanya penjarakan sosial, jumlah penonton ditetapkan antara 700 sehingga 800 orang.

"Kami akan sediakan kemudahan ujian calitan kepada penonton sebelum mereka masuk ke lokasi," katanya.

Ayie berkongsi keterujaan apabila Floor 88 ditawarkan menunaikan umrah oleh pengurusan Hotel Grand Barakah. - NSTP/Aziah Azmee
Ayie berkongsi keterujaan apabila Floor 88 ditawarkan menunaikan umrah oleh pengurusan Hotel Grand Barakah. - NSTP/Aziah Azmee

Eighty8 Infinity Concert bakal dibuka dengan persembahan Caramelt Band, iaitu kumpulan wanita yang menjadi anak didik Floor 88 sejak 2020.

Selain itu, Apak Harry dan Kizo tampil sebagai artis jemputan.

Tiket konsert berharga antara RM60 sehingga RM300 boleh dibeli di laman sesawang ticket2u.com bermula 1 Mac depan.

Sementara itu, Ayie memberitahu, dia dan teman-teman band teruja ditawarkan menunaikan umrah oleh pengurusan Hotel Grand Barakah.

"Mengerjakan umrah adalah impian kami. Sudah lama kami memasang impian ntuk pergi menunaikan umrah bersama-sama.

"Apabila ditawarkan Hotel Grand Barakah, kami menggigil. Kami fikir apakah ia mimpi atau nyata.

"Insya-Allah jika tiada halangan, kami akan menunaikan umrah selama sembila hari mulai 18 Mei depan," katanya.

Selain Ayie dan Achoi, Floor 88 yang diasaskan pada 2007, dianggotai Akram, Amir, Eric Fuzi dan Falique. Mereka adalah bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).