Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Fitri kembali ke pangkuan UNIC

06 Jul 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Umpama sirih pulang ke gagang, begitulah Fitri Haris kembali menyertai kumpulan nasyid, UNIC di sisi teman seperjuangannya, Bazli dan Fakhrul.

Pengumuman dibuat menerusi sebuah majlis di ibu kota, sekali gus, meleraikan teka-teki siapa gerangan anggota ketiga yang digembar-gemburkan, sebelum ini.

Penyertaan juara program realiti, Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua itu juga menjadi simbolik ulang tahun ke-20 UNIC yang diraikan 1 Mei lalu.

Fitri berkata, dia tidak mengambil waktu lama untuk menyatakan persetujuan kembali ke pangkuan UNIC.

"Saya antara pengasas kumpulan ini bersama Bazli dan seorang lagi, Wan Shah. Ketika itu, saya dan Bazli masih di bangku sekolah.

"Saya bersama UNIC selama lapan tahun sejak 2002. Kemudiannya, saya merencana kerjaya solo sejak lebih sedekad lalu.

"Biasalah, jatuh bangun dalam arena seni. Sebelum ini, UNIC diangkat juara GGV pertama, manakala, saya pula juara GGV musim kedua.

"Jadi, tiada masalah untuk saya kembali kepada UNIC," katanya kepada BH Online.

Kata Fitri, dua temannya, Bazli dan Fakhrul ada menghantar kiriman WhatsApp untuk mengajaknya kembali menyertai UNIC.

"Kemudiannya, saya mengajak mereka datang ke rumah sambil makan dan bersembang. Akhirnya, kami bersetuju untuk kembali bersatu," katanya.

Bazli tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuan kembali ke pangkuan UNIC. - Foto IG Fitri Haris
Bazli tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuan kembali ke pangkuan UNIC. - Foto IG Fitri Haris

Katanya, perjuangan dalam usia sekarang banyak yang perlu dipertimbangkan.

"Ia bukan sekadar nak menyanyi sahaja, tetapi lebih daripada itu. Jadi, saya buat keputusan atas dua faktor.

"Pertama, berpaksikan perniagaan. Maksudnya, apa sahaja yang memberi impak kepada saya, UNIC mahupun ekonomi.

"Kami perlu berpijak di bumi nyata. Apa juga yang dilakukan perlu ada penghasilan.

"Faktor kedua, secara jelas atas dasar ukhuwah dan persahabatan. Jadi, mungkin sudah masanya apabila Bazli dan Fakhrul mengajak saya kembali ke pangkuan UNIC," katanya.

Sebagai simbolik penyatuan, Fakhrul berkata, UNIC akan menghadiahkan single baharu berjudul Fatimah yang merujuk kepada anak Rasulullah SAW.

"Kami sengaja mengeluarkan single bertemakan srikandi. Lirik single Fatimah hasil nukilan lirik Ahmad Fedtri Yahya.

"Ia ciptaan Bazli, manakala saya pula melakukan susunan vokal.

"Tema srikandi juga sudah sinonim dengan lagu-lagu UNIC seperti Zinnirah, Ainul Mardiah dan Balqis," kata Fakhrul.

Fakhrul menambah, UNIC menggunakan khidmat qariah antarabangsa, Ustazah Farhatul Fairuzah sebagai model untuk video muzik lagu Fatimah.

Video muzik boleh distrim di semua platform digital terpilih mulai hari ini.