Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
IPOH: Bersedih atas pemergian pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada keluarganya, semalam.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham, Hasmah Hassan di kediaman di Taman Ipoh Jaya Timur 1, Ipoh, di sini.
Zakaria berkata, dia mewakili FINAS mengucapkan takziah kepada keluarga pengarah dan penerbit tersohor itu.
"Sepatutnya, saya datang semalam (kelmarin), namun, saya berada di Pahang. Jadi, saya datang menziarahi keluarga arwah hari ini (semalam).
"Pemergian arwah disifatkan sebagai kehilangan sebutir permata dalam industri seni.
"Beliau dianggap tokoh pengkarya kreatif yang sangat unik. Semua karya arahannya membangkitkan nostalgia lama.
Jalan penceritaan yang ringkas, tetapi sangat terkesan.
"Arwah adalah sebutir bintang yang sukar dicari ganti," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas menziarahi keluarga arwah Mamat.
Katanya, ada segelintir mungkin mempertikaikan karya arwah yang unik dan tiada tolok banding.
"Saya pernah dengar ada yang mempertikaikan filem bodoh dan sebagainya, tetapi sebenarnya jalan ceritanya adalah naskhah yang begitu terkesan kepada masyarakat.
"Arwah suka menjalankan penggambaran di kawasan kampung, tidak perlu menonjolkan banglo gah, kereta mewah atau pelakon cantik yang mempunyai jutaan pengikut, tetapi tetap menghasilkan filem pecah panggung," katanya.
Katanya, jasa arwah mencungkil ramai bakat luar biasa dan orang kampung perlu dihargai.
"Arwah berjaya melahirkan pelakon berbakat, karektor seperti arwah Pak Jabit, Yeh Sekupang, TJ Isa, Ucop Wilcha, Arwah Azwan Annuar, Avaa Vanja dan terbaharu, Yah Kucai.
"Semua karakter ini mempunyai nilai tersendiri. Inilah sebenarnya kita terhutang budi kepada arwah. Beliau mencungkil bakat yang tidak disangka mempunyai kelebihan," katanya.
Zakaria berkata, filem terbaharu, Rock 4: Rockers Never Dai sudah melepasi saringan kedua dan termasuk dalam senarai 20 filem terbaik yang bakal dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia Ke-31 pada 10 Disember ini.
"Allahyarham juga berkolaborasi dengan FINAS menyediakan skrip filem kenegaraan, Pasir Salak Pasir Berdarah pada 2016, namun belum difilemkan.
"FINAS mempelawa waris arwah memohon memohon dana kenegaraan pada tahun depan," katanya.
Sementara itu, Hasmah berterima kasih kepada FINAS yang sudah beberapa kali menghulurkan bantuan.
"FINAS pernah dua kali datang ketika arwah sakit di hospital. Terima kasih FINAS menghargai kerja seni arwah," katanya.
Berita berkaitan: