CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengambil satu lagi inisiatif memperkukuh industri kreatif tempatan dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU).
Kerjasama itu antara lain memberi tumpuan khusus kepada bidang animasi serta teknologi masa depan seperti Extended Reality (XR), Virtual Reality (VR) dan Kesan Khas Visual (VFX).
Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, berkata kerjasama itu mencerminkan pendekatan bersepadu antara industri kreatif dan ahli akademi dalam melahirkan bakat kreatif yang bersedia memenuhi keperluan industri global yang dipacu teknologi digital.
"Kerjasama antara FINAS dan MMU adalah satu inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif negara.
"Dengan termeterai MoU ini, FINAS komited untuk memperluas sinergi antara badan kerajaan dan institusi pendidikan moden bagi memacu pembangunan industri, khususnya dalam bidang digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan VFX.
"Kita mahu melihat industri ini terus berkembang pesat selari dengan peredaran teknologi global," katanya ditemui selepas upacara menandatangani MoU bersama MMU di kampus induk MMU di sini, Isnin lalu.
Majlis itu disempurnakan Hans; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan CEO MMU, Prof Datuk Mazliham Mohd Su'ud.
Melalui kerjasama itu, FINAS akan menyediakan input industri, akses kepada rangkaian profesional dan peluang dalam sektor kreatif.
MMU pula akan menyumbang kepada kepakaran akademik, penyelidikan dan fasiliti teknologi, termasuk kemudahan studio virtual.
Hans berkata, kerjasama strategik antara FINAS dan MMU bermatlamat menyediakan platform bagi melahirkan seramai mungkin penggiat seni baharu dalam industri kreatif.
"Pendekatan kita adalah dengan memberikan pendedahan awal yang meluas kepada pelajar agar mereka benar-benar memahami dinamik industri ini.
"Kita juga mengalakkan lebih ramai pelajar memanfaatkan peluang ini supaya mereka tahu mengenai industri dengan mendapat sokongan daripada FINAS dan MMU melalui bantuan daripada kerajaan," katanya.
Hans juga berharap melalui kolaborasi ini, bakat hebat dalam bidang animasi dapat dilahirkan.
Tambahnya, usaha ini dapat memajukan lagi kandungan filem berkualiti yang tidak hanya tertumpu pada pasaran tempatan tetapi juga berdaya maju hingga ke tahap antarabangsa.
Sementara itu, Mazliham berkata, MMU optimis melalui sinergi strategik bersama FINAS, lebih banyak karya berkualiti tinggi dapat dihasilkan.
"Kami berharap dengan kerjasama bersama FINAS, kita akan dapat menghasilkan lebih banyak lagi filem yang dapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
"Di MMU, kami sentiasa memberikan penekanan utama kepada elemen pembelajaran praktikal atau 'hands-on' dalam setiap program ditawarkan.
"Fokus utama kami adalah untuk memastikan pelajar bukan sekadar memiliki teori, malah benar-benar bersedia memacu kejayaan sebaik sahaja melangkah ke dalam industri kreatif yang mencabar," katanya.