Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Empat pasangan finalis musim ketiga program realiti, Lagu Cinta Kita (LCK3) masing-masing bakal mempersembahkan single duet baharu sebagai taruhan memburu gelaran juara di pentas akhir, Ahad ini.
Ini kali pertama penerbit LCK menyediakan single duet baharu yang dicipta istimewa untuk setiap pasangan finalis, bagi merebut ganjaran wang tunai RM50,000 kepada juara.
Peserta yang mara ke pentas akhir LCK3 adalah pasangan Achik dan Maria, Hariz dan Wanie, Pasya dan Puteri serta Syafeek dan Zazo.
Penerbit Eksekutif LCK3, Shazreena Mohd Kassim berkata, setiap pasangan perlu mendendangkan dua lagi termasuk single duet baharu.
"Banyak kejutan bakal berlaku di pentas akhir. Salah satunya, ini kali pertama setiap pasangan mempersembahkan sebuah lagu baharu yang dicipta khas untuk mereka.
"Kita juga ada banyak kejutan lain. Jika hendak tahu, menonton LCK3 di TV3, Ahad ini mulai jam 9 malam.
"Bagi menyantuni mangsa banjir, kami akan mempromosikan Tabung Bencana Banjir. Mereka yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan boleh menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima Berhad (MPB)," katanya pada sidang media virtual sempena pentas akhir LCK3, baru-baru ini.
Apa yang menarik, lagu duet baharu yang bakal dipersembahan finalis LCK3 sudah mula diputarkan di stesen radio Hot FM, mulai minggu ini.
Pasangan Achik dan Maria akan mendendangkan single baharu berjudul Pertahan Cinta; Hariz dan Wanie (Seribu Gundah); Pasya dan Puteri (Cinta Sejati Aku) serta Syafeek dan Zazo (Bagai Cahaya).
Video muzik setiap single itu boleh ditonton di saluran YouTube, TV3 Malaysia Official selepas pentas akhir, kelak.
Sementara itu, bagi memastikan keselamatan peserta dan kru, prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan TV3.
"Setiap minggu peserta dikehendaki menjalani ujian calitan sebelum masuk ke studio. Langkah ini bagi memastikan mereka sihat dan sesuai untuk bekerja.
"Kami juga mengehadkan aktiviti peserta di luar. Mereka hanya dibenarkan keluar jika terbabit dengan latihan.
"Peraturan ini diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga agar mereka tidak membawa pulang virus dan menjangkiti orang lain.
"Kita juga sentiasa memastikan studio dibersih dan dinyahkuman," katanya.
Sementara itu, Penerbit LCK3, Muhammad Saiful Saharudin menyifatkan pemilihan empat pasangan terbabit sangat tepat berdasarkan kekuatan dan keistimewaan dimiliki.
"Selama tujuh minggu program ini berlangsung, saya bangga melihat peningkatan ditunjukkan semua pasangan.
"Saya tidak mahu membandingkan siapa lebih hebat. Namun, saya dapat melihat peningkatan yang baik dalam kalangan mereka.
"Terus terang, apabila menerbitkan program realiti, dianggap sesuatu yang subjektif untuk menyatakan siapa yang terbaik.
"Apatah lagi tidak mudah memberi padanan kepada setiap pasangan. Namun, mereka berjaya mengambil risiko dan menjayakan setiap cabaran yang diberi," katanya.
Selain peserta, Muhammad Saiful berkata, gandingan Kamal Adli dan Ain Edruce sebagai pengacara turut menunjukkan peningkatan.
"Mereka menjadikan program itu lebih segar dan muda. Kita tidak nafikan, pada awal program, mereka berusaha mencari keserasian.
"Akhirnya, mereka berjaya menyesuaikan diri dengan peserta dan juri," katanya.
LCK3 menampilan komposer tersohor, Ajai dan penyanyi dangdut Mas Idayu sebagai juri tetap. Sementara itu, Hael Hussaini pula diundang sebagai juri jemputan.
Juara LCK3 bakal membawa pulang wang tunai RM50,000, naib juara (RM30,000) dan tempat ketiga (RM20,000).