KUALA LUMPUR: Debaran dan rasa gementar menantikan kehadirannya pada sesi temu ramah eksklusif bersama BH Online di ibu negara, Rabu lalu, hilang saat seniwati ini menyapa lembut sambil mengukir senyuman manis yang tidak lekang daripada wajahnya.
Kali pertama bertentang mata dengan aktres tersohor Indonesia ini, ternyata seniman ini bukan sahaja memiliki pesona tersendiri, malah sifat mudah mesra yang menjadikan wawancara berlangsung lancar dan selesa.
Menghabiskan separuh daripada usianya dalam dunia perfileman sebagai pelakon dan produser, bintang legenda, Christine Hakim melihat bidang yang diceburi memberi pengertian yang cukup luas, bukan sekadar limpahan glamor semata-mata.
"Semakin lama saya ceburi dunia lakonan, perspektif saya terhadap bidang ini semakin berbeza. Filem bukan sekadar bahan tontonan atau glamor semata-mata, malah, pengertiannya cukup luas.
"Filem umpama sebuah perjalanan kehidupan seorang manusia. Skripnya sudah diatur oleh Tuhan. Kita hanya menjalani apa yang sudah ditakdirkan Tuhan untuk kita.
"Sebagai seorang yang mendalami al-Quran dan hadis, saya dapat rasakan ia saling berkaitan. Apa yang disampaikan dalam dua perkara yang menjadi pegangan umat Islam itu, boleh kita dapati daripada filem.
"Filem umpama 'pesantren' (institusi pengajian agama) buat saya. Walaupun menjalani kehidupan yang agak tersasar, namun, kita akan kembali ke landasan yang betul.
"Itulah yang menjadi pegangan atau peringatan buat kita," katanya.
Christine bertandang ke Kuala Lumpur sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-5 yang menyaksikan beliau bertindak sebagai Presiden Juri pada Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022 yang berlangsung di Istana Budaya (IB), malam ini.
Meskipun tidak berjaya menggapai cita-cita menjadi ahli psikologi atau arkitek disebabkan terjebak dalam dunia lakonan, wanita berusia 65 tahun ini sangat bersyukur.
Melalui filem, Christine dapat menimba banyak ilmu yang mampu memberi manfaat dalam kehidupannya.
"Pada awal pembabitan dalam dunia seni, saya masih diulit rasa seronok. Namun, lama-kelamaan saya mula tersedar dan beritahu diri sendiri betapa beruntungnya saya.
"Peluang untuk terus belajar terbentang luas walaupun hanya dalam filem. Melalui filem, saya belajar mengenai teknologi, sosiologi, budaya dan psikologi.
"Ternyata filem juga berperanan sebagai sebuah universiti buat saya," ujarnya yang tampak anggun mengenakan kaftan berwarna merah serta pareo batik.

Bakal meraikan Jubli Emas pembabitannya dalam dunia perfileman, tahun depan, Christine berkata, sepanjang tempoh itu, beliau cukup bahagia melayari kehidupan sebagai anak seni.
Christine tidak pernah jemu menabur bakti demi dunia perfileman yang menjadi kecintaannya itu.
"Sepanjang lima dekad berada dalam belantara seni, semua pengalaman yang dilalui adalah manis buat saya. Jika ada yang pahit pun, saya akan tukarkan kepada yang manis.
"Hingga saat ini, saya masih lagi belajar kerana sesi pembelajaran itu tidak ada tarikh luput. Saya juga tidak mempunyai sasaran membawakan watak yang bagaimana.
"Meskipun bukan watak utama, saya tetap terima asalkan filem itu memberi cabaran buat saya. Tahun lalu, saya membintangi filem berjudul Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas.
"Walaupun babak saya tidak banyak, filem itu memberi cabaran tersendiri buat saya kerana perlu melakonkan babak sensual.
"Dalam pada risau dengan reaksi yang bakal diterima, saya lihat cabaran itu daripada sudut yang positif iaitu bagaimana seorang wanita berusia membawakan watak seberani itu.
"Saya percaya persepsi penonton pasti berbeza berbanding jika watak itu dibawa aktres yang lebih muda," ujarnya.
Melewati usia separuh abad, tidak dinafikan Christine bukan sahaja berjaya mengekalkan kejelitaannya, malah masih gagah ke sana ke mari atas tuntutan kerja.
Berkongsi rahsia untuk sentiasa tampil sihat dan cantik, Christine yang membawa watak Bayan dalam filem Puteri Gunung Ledang The Movie ini berkata, amalan yang dilakukan adalah sentiasa menerapkan aura positif dalam diri.
"Semuanya bermula dari dalaman. Kena selalu bersikap positif. Aura itulah yang akan menyerap dalam diri sekali gus terpancar pada wajah dan memberi tenaga kepada tubuh," katanya.
Antara filem menampilkan lakonan hebat dan masih diperkatakan hingga sekarang adalah Tjoet Nja' Dhien, Kartini, Jamila dan Sang Presiden serta Perempuan Tanah Jahanam.
Aktif dalam bidang sosial dan menubuhkan Yayasan Chritine Hakim yang banyak memberikan kesedaran mengenai autismne.
Pada 2002, Christine terpilih menjadi juri Festival Filem Cannes bersama aktres Hollywood, Sharon Stone.