Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35
Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang
telah dipertandingkan pada tahun ini
KUALA LUMPUR: Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 secara berperingkat terus merancakkan pelbagai aktiviti industri kreatif.
Ia turut dimanfaatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan yang giat menjalankan pelbagai acara hiburan untuk dinikmati oleh warga kota.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Azmir Ahmad berkata, pihaknya merangka pelbagai aktiviti penganjuran acara yang tertunda sejak dua tahun lalu.
"DBKL merangka semula pelbagai acara penganjuran yang tertangguh sebelum ini. Bagaimanapun, ia masih berpandukan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Antaranya, KL Big Band, Konsert Rockestra Nostalgia dan KL Car Free Morning. Festival KL Urban Youth 2021 pula bakal berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 27 dan 28 November ini.
"Ini adalah salah satu pengisian sempena sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur pada 1 Februari depan bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972.
"Program yang dirangka bakal menghimpunkan aktiviti menarik seperti sukan ekstrem, e-sukan, pertandingan Beatbox & Breakdance, bengkel keusahawan, kelas muzik, bengkel seni kanak-kanak dan pelbagai lagi," katanya kepada BH Online.
Azmir berkata, inisiatif DBKL itu bagi menyediakan ruang terbaik buat warga kota dan pengunjung Taman Botani Perdana.
"Penganjuran ini juga pastinya membantu menggerakkan kembali ekosistem penganjuran acara, sekali gus membantu menjana ekonomi penggiat seni," katanya.
Festival KL Urban Youth 2021 selama dua hari akan bermula seawal pagi hingga malam dengan membariskan pelbagai aktiviti yang sinonim dengan sub budaya generasi muda.
"Beberapa aktiviti utama seperti segmen Urban Showdown (Hip Hop), FIFA21 Youth Championship (eSports) dan Battle at The Botanic (X-Games), disusuli persembahan penyanyi Bungaisme dan Strikeout pada Sabtu ini.
"Pada sesi malam diteruskan dengan acara KL Street Jam yang menampilkan penyanyi Caramelt Band, Kristal, Mayabayu dan Fugo.
"Festival diteruskan dengan acara Aerobikthon, pertandingan Digimon V-Pet, Cosplay dan persembahan hasil bengkel KL Big Band pada hari kedua. Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan Rina Hime, TIM dan ramai lagi.
"Untuk persembahan penutup festival iaitu KL Urban Stage yang bakal menampilkan persembahan hebat dari Monoloque, Aru Peruzza, Banyak Bunyik Republik dan Margasatwa sehingga jam 11 malam," katanya.
Penganjuran Festival KL Urban Youth 2021 bakal menjadi pusat aktiviti seni sehenti yang penuh acara menarik untuk warga kota seisi keluarga. Ia disediakan secara percuma oleh DBKL.
Untuk menghadiri program ini, orang ramai perlu mendaftar di www.tiny.cc/urbanyouth2021.