Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
PETALING JAYA: Rutin menonton semula lakonan sendiri apabila projek drama atau filem sudah siap, sentiasa dipraktikkan Fasha Sandha dalam meningkatkan penghayatan dalam karakter dibawa.
Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 35, memberitahu, petua itu dipraktikkan sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.
“Saya suka menonton semula setiap lakonan dan mencari kelemahan diri. Setiap kekurangan akan saya cuba elak untuk projek drama akan datang.
“Itu adalah cara saya sejak dahulu lagi... Tak mungkin saya berpuas hati dengan setiap hasil kerja saya,” katanya kepada BH Online.
Ditemui pada majlis pra-tonton telefilem Suatukala : Timun Mas & Ijo di sini, semalam, Fasha menambah, dia juga mengambil kelas lakonan bersama bintang senior seperti Fauziah Nawi.
“Apabila sampai suatu peringkat usia, energi lakonan akan berbeza terutama dalam ekspresi wajah.
“Jadi kita perlu menambah ilmu dan skil lakonan. Saya tak mahu sekadar buat kerja tetapi penonton tak rasa lakonan yang disampaikan.
“Pada pendapat saya, tak rugi kalau hendak tambah ilmu dan belajar kerana ilmu tidak pernah putus,” katanya.
Mengenai naskhah Suatukala : Timun Mas & Ijo, Fasha melakonkan watak antagonis iaitu Ma Andeh yang sukar dibawa.
“Agak sukar untuk melakonkan watak Mak Andeh sebab bukan karakter sendiri.
“Apatah lagi ada babak di mana saya kekok dan tak suka dengan bayi. Sedangkan saya sudah biasa pegang bayi. Syukur, pengarah banyak membantu saya,” katanya.
Selain Fasha, telefilem itu dibintangi Prisia Nasution, Fikry Kiki, Kishok Kumar dan Vanka.