Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
SHAH ALAM: Pelakon Farid Kamil, 42, mendedahkan hubungannya dengan ibu mentua, Norsiah Ramli sudah lama terputus berikutan isterinya, Diana Danielle, 32, menghalau wanita itu keluar dari rumah pada 2019.
Berikutan itu, Farid berkata, dia sudah lama tidak berhubung atau bertemu dengan ibu mentuanya.
"Sebenarnya sudah lama saya tak dapat menghubungi Mama (Norsiah). Ini kerana setahu saya, Mama dihalau Diana keluar dari rumah kami. Namun, saya terkejut apabila Mama muncul di mahkamah bersama Diana, minggu lalu," katanya.
Farid berkongsi mengenainya ketika ditanya mengenai komunikasi dengan ibu mentuanya selepas mendakwa sukar mencari Diana dan anak-anak yang kini tidak tinggal di rumah kelamin mereka.
Tambah Farid, dia sendiri kurang arif mengenai punca keretakan hubungan Diana dan ibunya.
"Bagi saya, Diana perlu menjelaskan kepada saya sebab menghalau dan tidak mahu bertemu Mama ketika itu.
"Bila jadi begini, Mama tiba-tiba muncul membuatkan saya terkejut. Ini kerana saya sudah lama 'lost contact' dengan Mama sebab Diana yang memutuskan hubungan dengan ibunya," katanya.
Pada ketika permulaan kerjaya seni Diana, Norsiah menjadi tulang belakang kejayaan anaknya dalam industri hiburan. Norsiah sentiasa berada di sisi Diana yang memulakan kerjaya lakonan awal usia 9 tahun.
Mengulas persoalan berpeluang bertemu berjumpa anak keduanya, Nur Aurora, Farid berkata, dia masih tidak dapat berjumpa mahupun berhubung dengan anak-anak dan isterinya. Dia juga tidak mengetahui lokasi Diana dan anak-anaknya berada.
"Saya belum dapat berhubung dengan Aurora. Saya cuba menghubungi Diana, pengurus dan rakan-rakan, semuanya tidak berangkat. Saya faham ia dilakukan untuk menimbulkan rasa sedih dan kecewa kepada saya.
"Sudah sebulan saya tidak dapat menghubungi mereka. Panggilan telefon dan WhatsApp semuanya disekat.
"Saya hanya boleh berjumpa Diana di mahkamah. Rumah kelamin kami ditinggalkan begitu sahaja dan saya tidak tahu Diana dan anak-anak berada di mana.
"Sehingga sekarang, saya akan cuba mencari mereka jika tiada penggambaran. Ada masanya saya terima maklumat Diana berada di sini dan di situ," katanya.
Farid berkata, dia kesal perbelanjaan dikeluarkan Diana ketika menunaikan umrah pada Februari lalu dianggap sebagai hadiah berubah menjadi hutang.
Katanya, dia berusaha menjelas hutang bernilai RM44,000 itu.
"Apabila keadaan sudah terbalik, hadiah sudah bertukar menjadi hutang. Saya mengambil apa yang diluahkan Diana dalam Instagram Story (IGs) dan saya anggap, ini adalah apa yang dia mahukan.
"Alhamdulillah, saya dan pasukan dapat tunaikan permintaan Diana," katanya.
Terdahulu, Diana memuat naik hantaran di IGs meluahkan Farid enggan membayar balik perbelanjaan umrah, sebaliknya dia terpaksa menanggungnya sendirian.
"Perjalanan ke Makkah, saya bayar untuk semua empat beranak. Saya tak harap pun dia bayar balik sebab sudah biasa bila saya keluarkan duit untuk apa-apa. Selagi tak ingatkan, dia pun takkan ingat nak ganti balik.
"Tapi dia sendiri cakap akan bayar semula kos tiket penerbangan dan hotel di Makkah. Malangnya, sampai hari ini hanya tinggal kata-kata," luah Diana.
Menjelaskan rentetan isu bayaran umrah, Farid berkata, dia menyimpan impian membawa isterinya menunaikan umrah, namun berhadapan dengan kekangan kewangan.
Katanya, Diana memudahkan urusan dengan menawarkan perjalanan menunaikan umrah sebagai hadiah buat Farid.
"Sebenarnya, ini kali pertama saya dapat keluar negara dan saya memilih Makkah sebagai destinasi pertama, tahun ini. Saya ingin membawa Diana menunaikan umrah.
"Secara kebetulan, ada slot ke Makkah pada 23 Februari. Keinginan saya membawa Diana ke Makkah memang sangat tinggi, namun ada sedikit kekangan buat saya.
"Kekangan saya hanya boleh selesaikan bayaran untuk umrah pada penghujung bulan. Jadi, Diana beritahu saya tidak mengapa sebab ini kali pertama kami dapat keluar negara bersama.
"Dia menghadiahkan saya pakej umrah ini," katanya.
Hari ini, Farid menawarkan empat tawaran perdamaian kepada Diana untuk menyelamatkan keluarga dan rumah tangganya, termasuklah menawarkan bayaran balik tiket umrah bernilai RM44,000.
Selain itu, Farid turut menawarkan kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barangan kemas bernilai RM10,700 dan wang pendahuluan nafkah antara Mac hingga Jun 2023 bernilai RM40,000.
Farid berkongsi mengenainya ketika ditemui selepas menjalani prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, antara jam 11.45 pagi sehingga 1 petang tadi.
Pelakon itu turut ditemani peguam syarie mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Seterusnya, Fakhrul mengesahkan bakal menghadiri sulh kedua pada 25 Mei depan berikutan Diana tidak dapat hadir pada prosiding hari ini.
Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.