Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Tidak sukar buat Fadlan Hazim, 30, dan Ruhainies, 30, mencari keserasian apabila membawa watak suami isteri.
Walaupun Fadlan agak kekok membawa watak lelaki romantis apabila kerap diberi karakter antagonis, namun, keserasian Fadlan dan Ruhainies disebabkan mereka sudah saling mengenali.
Malah, momen romantis antara Fadlan dan Ruhainies mula diperkatakan hingga menimbulkan gosip menjalinkan hubungan selepas bergandingan dalam drama Sayang Tak Dikenang yang kini menghiasi slot Akasia di TV3.
Fadlan mengaku selesa bergandingan dengan Ruhainies, apatah lagi, sudah lama saling mengenali.
"Saya pernah menjayakan telefilem bersamanya ketika Ruhainies mula berlakon pada 2015. Selepas itu, kami dipertemukan lagi menerusi drama Wifi Sebelah Rumah.
"Alhamdulillah, bekerja dengan Ruhainies sangat mudah. Ruhainies gila-gila, suka ketawa dan buat lawak, jadi seronok bekerja dengannya.
"Apa yang saya boleh cakap, Ruhainies pelakon yang baik dan mudah dibentuk. Walaupun ada kala 'banyak main', namun tetap fokus ketika bekerja," katanya kepada BH Online.
Fadlan turut berkongsi rasa teruja apabila diberi kepercayaan menghidupkan watak hero, berbanding lebih banyak membawa watak antagonis sejak sedekad bergelar pelakon.
Menerusi drama Sayang Tak Dikenang arahan Feroz Kader, Fadlan membawa watak lelaki romantik yang disifatkan sebagai tugas agak janggal buatnya.
Fadlan berkata, ia adalah kali pertama diberi kepercayaan oleh stesen televisyen (TV) membawa watak hero romantik.
"Awalnya, saya fikir pengarah, Feroz hubungi saya untuk menawarkan watak antagonis lagi. Ini disebabkan saya baru sahaja menyiapkan satu projek drama bersamanya.
"Saya agak terkejut apabila Feroz memberitahu saya perlu watak hero. Saya tekankan, adakah Feroz percaya saya boleh membawa watak ini. Namun, sebagai pelakon, saya sahut cabaran dan cuba memberikan yang terbaik.
"Saya pernah membawa watak hero sebelum ini, tetapi bukan selalu. Jadi, saya kena ambil sedikit masa untuk menjiwai watak ini," katanya.
Fadlan bersyukur apabila pengarah dan pelakon gandingan iaitu Ruhainies dan Ezzanie Jasny banyak membantu menjayakan watak berkenaan.
"Apabila tiba pertengahan projek, saya dapat mengikut rentak dengan pertolongan Feroz, Ruhainies dan Ezzanie.
"Saya tak menafikan, tekanan menjayakan watak hero agak tinggi. Apatah lagi, ini untuk tayangan slot Akasia.
"Saya pun sudah dua tahun tidak bawa watak hero romantik dan lemah lembut. Jadi, awalnya agak berkarat juga.
"Iyalah, saya selalunya diberi watak antagonis, kaki pukul, botol, judi dan sebagainya. Tiba-tiba TV3 beri peluang, agak mencabar buat saya yang selalu bawa watak jahat jadi hero romantik," katanya.
Bagaimanapun, Fadlan bersyukur banyak dibantu dan diberi peluang untuk 'warm up' pada minggu pertama.
Berkongsi watak Raqib Tafzani, Fadlan berkata, watak itu menarik dan berbeza buatnya. Ini kerana perlu mempelbagaikan 'mood' lakonan dan karakternya sering berubah-ubah.
"Misi Raqib untuk menundukkan dua wanita demi membalas dendam untuk adiknya. Saya perlu bijak ubah karakter apabila mendekati dua watak wanita ini,"
Selain Fadlan, Ruhainies dan Ezzanie, drama berkenaan dibintangi Mak Engku Faridah, Mahmud Ali Bashah, Fazlina Ahmad Daud, Ainina Ahmad, Jasmine Ashraff, Alif Muhaimin, Andy Teh, Fad Anuar, Syafnida Shuhaimi, Riz Amin, Kak Girl dan ramai lagi.
Sementara itu, biarpun sering dikaitkan gosip bersama hero gandingan, namun, Ruhainies hanya mengikut tuntutan watak dan skrip.
Sebelum ini, pelakon kecil molek itu pernah dikecam gara-gara aksi bersama pelakon, Zul Ariffin yang dikatakan terlalu intim.
Kali ini, Ruhainies dikaitkan dengan Fadlan pula.
Ruhainies atau nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 29, menjelaskan dirinya pelakon, jadi perlu mengikut kehendak skrip.
"Kalau skrip minta saya bermesra dengan pelakon, saya ikut. Saya juga akan minta pandangan pengarah.
"Setakat ini, tiada pula kelakuan saya melampaui batas... Semuanya biasa sahaja.
"Kalau diminta berlakon sebagai isteri, saya buat seperti watak isteri, sama juga watak kekasih," katanya.
Tambah Ruhainies, begitu juga pembawaan wataknya sebagai isteri kepada Fadlan menerusi drama Sayang Tak Dikenang.
"Jangan risau, kemesraan saya dengan Fadlan hanya dalam drama. Tak boleh lawan kemesraan Fadlan bersama Ezzanie yang juga pelakon utama dalam drama ini.
"Jujurnya, saya hormat Ezzanie kerana dapat menjayakan wataknya dengan baik. Jika saya diberikan karakter wanita sebegitu, saya tidak boleh bawa dan akan banyak ketawa," katanya.
Ruhainies bersyukur digandingkan dengan Fadlan yang mudah bekerjasama, jadi tidak kekok untuk menghidupkan watak seorang isteri.
"Saya seronok bekerjasama dengan Fadlan. Dia gila-gila, jadi saya banyak ketawa disebabkan Fadlan suka buat lawak," katanya.
Ditanya karakter ingin dibawa bagi memaparkan sisi lakonannya berbeza, Ruhainies berkata, dia teringin watak lasak.
"Saya teringin nak bawa watak ganas. Sebelum ini, saya ada menjayakan watak dipukul. Saya suka terima watak seseorang didera suami.
"Bagi saya, ia sangat mencabar. Satu lagi, watak aksi. Ada kala, orang selalu 'stereotaip' untuk menjayakan watak aksi di mana mesti perempuan gagah perkasa dan tinggi.
"Walaupun kecil, saya juga boleh membawa watak aksi. Ia adalah satu kelainan.
"Saya rasa menarik jika saya membawa watak lebih lasak... Muka baik, tetapi lasak," katanya.