Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pelakon kacak, Fadlan Hazim antara hero pilihan sering diberikan kepercayaan menghidupkan watak antagonis.
Bagaimanapun, sebaliknya menerusi drama Sayang Tak Dikenang arahan Feroz Kader apabila diberikan kepercayaan membawa watak lelaki romantik yang disifatkan sebagai satu tugas yang agak janggal buatnya.
Fadlan berkata, ia adalah kali pertama diberikan kepercayaan oleh stesen televisyen membawakan watak hero romantik menerusi slot Akasia di TV3
"Awalnya, saya fikir pengarah, Feroz menghubungi saya untuk menawarkan watak antagonis lagi. Ini disebabkan saya baru sahaja menyiapkan satu projek drama bersamanya.
"Kebiasaannya, saya diberikan watak antagonis. Saya agak terkejut apabila Feroz memberitahu saya perlu watak hero.
"Saya tekankan, adakah Feroz percaya saya boleh membawakan watak ini. Namun, sebagai pelakon, saya sahut cabaran dan cuba memberikan yang terbaik.
"Saya pernah membawakan watak hero sebelum ini, tetapi bukan selalu. Jadi, saya kena ambil sedikit masa untuk menjiwai watak ini," katanya kepada BH Online.
Tambah Fadlan, dia bersyukur apabila pengarah dan pelakon gandingannya, Ruhainies dan Ezzanie Jasny banyak membantu menjayakan watak berkenaan.
"Apabila tiba pertengahan projek, saya dapat mengikut rentak dengan pertolongan Feroz, Ruhainies dan Ezzanie.
"Saya tak menafikan, tekanan menjayakan watak hero agak tinggi, apatah lagi, ia adalah tayangan slot Akasia.
"Saya pun sudah dua tahun tidak bawa watak hero romantik dan lemah lembut. Jadi, awalnya agak berkarat juga.
"Iyalah, saya selalunya diberikan watak antagonis, kaki pukul, botol, judi dan sebagainya. Tiba-tiba stesen TV3 beri peluang, agak mencabar buat saya yang selalu bawa watak jahat jadi hero romantik," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur banyak dibantu dan diberi peluang untuk 'warm up' pada minggu pertama.
Fadlan ditemui pada sidang media drama Sayang Tak Dikenang secara virtual, baru-baru ini.
Selain Fadlan, Ruhainies dan Ezzanie, drama berkenaan turut dibintangi Mak Engku Faridah, Mahmud Ali Bashah, Fazlina Ahmad Daud, Ainina Ahmad, Jasmine Ashraff, Alif Muhaimin, Andy Teh, Fad Anuar, Syafnida Shuhaimi, Riz Amin, Kak Girl dan ramai lagi.
Drama Sayang Tak Dikenang berkisarkan mengenai Ayu Izhani dan Hattin Isabella, dua sepupu yang bersahabat baik sehingga jatuh cinta dengan lelaki sama, tetapi nama berbeza.
Ia diadaptasikan daripada novel karya Wazrul Shah dan ditayangkan sejak 4 Mac lalu. Drama bersiri 28 episod ini diterbitkan oleh FJ Pictures, manakala skrip ditulis oleh Shida Zali, Amin Shakib dan Mia Marziah.