Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Erra masih dalam 'radar' peminat

06 Nov 2020 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Kuasa dimiliki aktres jelita ini tidak mampu disangkal lagi. Siapa sangka, selepas tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Erra Fazira, 46, membuktikan dia masih relevan.

Mara dengan empat pencalonan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Erra yang viral apabila dikatakan berkahwin gara-gara perkongsian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengucapkan tahniah kepada wanita bernama Erra Fazira atas pernikahannya, semalam, bintang tinggi lampai ini masih berbisa.

Seperti tahun lalu, Erra atau nama penuh, Fazira Wan Chek bersaing dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dimenangi sebanyak tujuh kali pada era kegemilangannya.

Kali terakhir Erra bolos kategori sama adalah pada ABPBH 3.0 yang diraih Nur Fazura.

Selain itu, tiga lagi kategori yang dibolosi ibu tunggal beranak satu ini pada ABPBH 33 adalah Artis Versatil Popular, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia dan Pengacara TV Popular.

Mendekati wanita cekal ini, Erra yang digelar 'Primadona Filem Melayu' mengaku kecintaannya terhadap dunia seni masih menebal.

"Bidang seni sudah sebati dalam hidup saya. Saya hanya lakukan sebaik mungkin untuk kepuasan dan kebahagiaan diri sendiri. Tidak lupa untuk peminat yang ingin melihat saya terus maju.

"Pada tahap sekarang, bukan hendak mengejar 'title' (kemenangan) lagi. Kalau ada, ia dianggap bonus. Hakikatnya, saya sendiri minat dan seronok apabila dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan baik.

Bersaing di pentas ABPBH sejak 1994, Erra terus tercalon sehingga edisi ke-33 acara anugerah ini dalam empat kategori. Foto IG Erra Fazira
Bersaing di pentas ABPBH sejak 1994, Erra terus tercalon sehingga edisi ke-33 acara anugerah ini dalam empat kategori. Foto IG Erra Fazira

"Lebih manis, apa sahaja komitmen kerja saya lakukan membuatkan peminat gembira. Jadi, saya sendiri berganda-ganda rasa gembira itu," katanya kepada BH Online.

Bagi Erra, pencalonannya pada ABPBH 33 sudah dianggap kejayaan awal apabila dapat berada dalam kelompok yang masih diperhatikan.

"Sangkut atau tidak, ia tertakluk kepada rezeki. Saya percaya kelab peminat yang saya anggap seperti keluarga sendiri iaitu Bersama Erra, sudah buat sehabis baik untuk meletakkan artis mereka pada tahap membanggakan.

"Saya sangat menghargai, terharu dan tersentuh dengan kegigihan peminat. Malah, ada dalam kalangan mereka menghantar mesej langsung kepada saya di Instagram demi menunjukkan bukti sudah mengundi.

"Dengan apa yang dilakukan peminat, saya sudah rasa menang sebelum bertanding lagi. Dikurniakan peminat yang sangat mengambil berat dan menyayangi diri ini, dianggap suatu hadiah terindah buat saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Erra bakal memulakan penggambaran sebuah filem baharu, tidak lama lagi.

"Penggambaran filem ini tergendala ketika pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini. Insya-Allah, projek ini akan diteruskan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Dalam bidang nyanyian, saya sedang mencari material lagu yang sesuai untuk single seterusnya. Sebelum ini, single Menangkah Cinta berentak balada.

"Jadi, mungkin single baharu lebih santai," katanya.